Isu politik wang dalam pemilihan parti Umno adalah isu lama dan telah berakar umbi dalam parti tersebut, malah diakui sendiri oleh mantan presiden dan bekas ahli-ahlinya.

Presiden kini, Datuk Seri Najib Razak walaupun jarang dilihat mahu mengaku perkara tersebut di mata umum, mahu perkara itu dikurangkan, malah dihentikan.

Beberapa delegasi memberitahu Malaysiakini, Najib menyentuh bab politik wang dalam taklimat tertutup presiden semalam.

Najib difahamkan berkata, amalan politik wang akan menyebabkan golongan profesional kurang berminat menyertai parti itu.

Malah beliau secara lembut memberi teguran dan menyenaraikan beberapa contoh salah laku politik wang kepada keluarga parti ini.

"Saya nak sebut di sini, ada perwakilan SMS bank akaun dia kepada calon yang bertanding.

"Kalau berlaku benda-benda macam ni, kita tak payah ulangi ya. Kalau buat perkara ni salah kita juga nanti.

"Orang takut nak bertanding nanti. Orang profesional kena lantik baru boleh masuk (Umno)," kata beliau kepada delegasi perhimpunan agung ke-67 parti itu, semalam, seperti dimaklumkan sumber.

Difahamkan Najib juga melaraskan empat teras yang akan dilihat sebagai tema perdebatan, usul dan ucapan sepanjang Perhimpunan Agung Umno 2013, yang menjadi gelanggang pemula bagi kempen pilihan raya umum ke 14.

'Perjuangan menentang ajaran sesat'

Menurut Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, empat teras tersebut ialah berjuang untuk kesejahteraan rakyat, memperkasakan ekonomi Bumiputera, memartabatkan syiar Islam dan menjayakan Malaysia sebagai negara maju pada 2020.

"Empat perkara ini jadi teras kepada peranan yang dimainkan Umno pada hari ini. Dalam hal ini, kita harus memastikan kuasa kerajaan itu sentiasa berada bersama dengan Umno.

"Malah, Presiden juga menyebut mengenai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 bermula daripada sekarang," katanya.

Antara teras terbesar ialah soal Islam, sama ada perlunya bergabung atau bermuzakarah dengan PAS atau tidak. Ekoran itu, ramai perwakilan kali ini dijangka akan menyentuh soal agama dan "perjuangan menentang ajaran sesat".

Visi mengetengahkan syiar Islam dan mempertahankan syariat ini dilihat bertujuan memikat golongan agama, khususnya pegawai kerajaan yang telah bersara untuk terus menyokong parti itu.

Dalam taklimat semalam, Najib dikatakan mengakui, tanpa tarikan agama,ramai bekas pegawai kerajaan yang berpengaruh menyertai PAS akhir-akhir ini.

Sementara itu, Umno dijangka akan terus menggunakan isu kalimah Allah untuk menarik sokongan Melayu, sekali gus menyerang Pakatan Rakyat yang berpendirian berbeza.

Pelantikan pendakwah terkenal dan bekas ahli PAS Mohammad Kazim Elias ke dalam Majlis Tertinggi Umno merupakan langkah awal dalam 'mengislamkan' lagi Umno.

Banyak pihak, seperti exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya melihat penyertaan golongan itu penting untuk menjayakan transformasi dalam Umno.

"Kini ia (penyertaan Kazim) merupakan 'lesen besar' diberi pada kita (golongan agamawan)," kata ulama muda Umno itu.

6 juta pengundi baru

Bagaimanapun, senjata itu boleh juga dilihat "makan tuan" apabila Kazim semalam dilapor menolaknya dalam ceramah di Sungai Petani.

Tindakan Kazim di saat-saat akhir, menjelang perhimpunan sayap Umno hari ini pasti mengundang perdebatan hangat di kalangan perwakilan hari ini.

Ucapan perasmian sayap parti oleh timbalan presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi turut menjadi bukti apa yang boleh dilihat sebagai perubahan nada yang sebelum ini lebih moden dan sederhana.

Muhyiddin mengalu-alukan pertubuhan Melayu dan Islam yang lain untuk berganding bahu mempertahankan akhlak, moral dan akidah umat Islam demi memperkukuhkan lagi perjuangan menegakkan agama.

Sementara itu, dalam ucapannya semalam, Najib juga dilihat mahu membina kembali jentera pilihan raya Umno yang sedikit sebanyak tergugat selepas pemilihan parti sebelum ini.

Beliau antaranya difahamkan mengumumkan akan mengguna pakai sistem pengkaderan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memantapkan lagi gerakan akar umbi di cawangannya seluruh negara.

Pemantapan gerak kerja parti juga bagi menghadapi pertambahan kira-kira enam juta pengundi baru menjelang 2017, yang dianggap menjadi kuasa penentu masa depan parti itu.

Jelas motif Najib untuk memastikan 'pasukan' yang memenangi pemilihan lepas terus bekerja demi pilihan raya umum ke-14, sekali gus menjadi perkara yang perlu dipandang serius oleh Pakatan Rakyat.