Perwakilan dakwa Petronas utama syarikat milik asing
Seorang perwakilan Pemuda Umno menyelar syarikat petroleum negara, Petronas yang didakwa mengutamakan syarikat milik warga asing untuk membekal makanan tempatan di rangkaian kedai runcit stesyen minyak terbabit.
Berucap dalam perhimpunan Pemuda Umno hari ini, wakil bahagian Batu, Gulam Muszahar Gulam Mustakim juga mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara itu.
"Saya ada bukti surat dari Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Melayu bahawa Petronas bawa syarikat tempatan milik warga asing sebagai rakan niaga oleh Petronas Dagangan Bhd.
"Ini dasar kapitalis, hanya untuk mengaut keuntungan," katanya lagi yang tidak menamakan syarikat didakwa milik warga asing itu.
Beliau turut menyifatkan langkah tersebut sebagai “rompakan” ke atas hasil pendapatan pengusaha makanan industri kecil dan sederhana (IKS).
Beliau juga mendakwa, tindakan berkenaan akan menjejaskan pengusaha terbabit yang kebanyakannya terdiri dari orang Melayu.
Beliau turut menggesa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) membantu memperkasakan golongan Bumiputera.
Menurut beliau, penubuhan GLC adalah bertujuan untuk membantu memperkasakan golongan bumiputera dan bukan hanya untuk mengaut keuntungan.

