Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dewan tolak usul kertas soalan SPM bocor
Diterbitkan:  Dec 4, 2013 5:49 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Dewan Rakyat hari ini menolak usul bagi membincangkan dakwaan kebocoran kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013.

    

Usul itu dikemukakan oleh Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan) selepas selesai sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

    

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata usul itu tidak perlu dibahas dan ditolak mengikut Peraturan 18 (2) kerana beliau difahamkan Kementerian Pendidikan telah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat berkaitan aduan kebocoran itu.

    

Dalam pada itu, penolakan usul bagi membincangkan kebocoran soalan SPM mengundang perdebatan hangat setelah wakil rakyat pembangkang dan kerajaan sependapat mahu perkara itu dibahaskan demi kebaikan bersama.

    

Bagi G. Manivannan (PKR-Kapar) Pandikar Amin perlu memberi ruang supaya isu itu dibahaskan bagi membolehkan setiap pandangan diambil kira daripada hanya bergantung kepada pasukan khas yang ditubuhkan kerana kes kertas peperiksaan bocor berlaku hampir setiap tahun.

    

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) juga bersetuju usul itu dibahaskan kerana kes kertas soalan bocor bukan perkara baru selain mahu mereka yang bertanggungjawab dikenal pasti dan dikenakan tindakan.

    

"Ini bukan perkara baru, tahun-tahun sebelum ini juga berlaku, bermakna ada orang yang bertanggungjawab. Jadi, kita kena cari siapa yang bertanggungjawab supaya dia sedar perbuatannya itu salah," katanya.

Wong yang membangkitkan isu berkenaan juga bangun dan bertegas mahu usul itu dibahaskan kerana jumlah enam kertas yang bocor dianggap tahap parah.

    

Perbalahan itu kemudian dileraikan apabila Pandikar Amin berkata walaupun beliau menolak usul itu, tidak bermakna ia tidak mustahak, dan meminta kerajaan mengambil perhatian serius.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS