Najib dakwa Pakatan buat pelabur Taiwan takut
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendedahkan dakwaan bahawa pemimpin Pakatan Rakyat menakut-nakutkan pelabur Taiwan untuk melabur dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia di Pengerang, Johor.
Najib mendakwa, presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas yang memberitahunya bahawa tindakan pemimpin parti berkenaan menyebabkan Malaysia kerugian “hampir RM40 bilion pelaburan asing dari Taiwan" ekoran tindakan itu.
Beliau yang tidak menamakan pemimpin Pakatan terbabit mendakwa, Shamsul memberitahu perkara itu kepadanya "baru-baru ini".
"Saya ingin bertanya, tidakkah perbuatan pembangkang ini satu pengkhianatan kepada rakyat? Tidakkah perbuatan mereka ini satu petualangan kepada kepentingan negara?," soalnya.
'DAP hina penjawat awam'
Najib ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno juga mengingatkan para perwakilan bahawa pemimpin DAP turut menghina para penjawat awam.
"Tidak cukup dengan itu, tidak cukup dengan itu, jangan sesekali kita lupa, parti DAP telah menghina penjawat awam sebagai kucing kurap. Pemimpin DAP jugalah yang mahu memberhentikan lebih separuh penjawat awam jika mereka memerintah negara ini," katanya.
Beliau merujuk kepada kontroversi yang timbul ekoran kenyataan MP Jelutong Jeff Ooi (
kiri
) yang menghina kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang gelaran seperti itu.
"Kepada pihak pembangkang inikah orang-orang Melayu, bumiputera dan rakyat keseluruhan hendak menyerah nasib dan masa depan anak cucu?
"Kepada mereka yang sanggup menggadai kepentingan rakyat dan negara inikah kita nak pertaruhkan hari muka?," katanya .
Lahad Datu: Najib bidas pembangkang
Dalam ucapannya juga, Najib juga membidas pembangkang yang didakwanya tidak menghargai para perajurit dan anggota keselamatan yang bermati-matian mempertahankan tanah air, malah mahu mengiktiraf pula komunis sebagai wira bangsa.
"Maka yang demikian, peristiwa Lahad Datu, tidak mungkin terpadam dari memori dan ingatan kita betapa Umno-lah sebagai parti yang senantiasa mengangkat dan menjulang para perajurit dan anggota-anggota keselamatan di persada yang sewajarnya.
"Ternyata, tragedi Lahad Datu telah mengukuhkan lagi ikatan sesama kita, rakyat Malaysia.
"Pendek kata, walau sejengkal tanah Sabah, Negeri di Bawah Bayu, tak mungkin kita serahkan kepada sesiapa," katanya.

