Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak perlu dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) kerana masih berpeluang menghadiri mesyuarat itu atas kapasitinya sebagai pengerusi Umno Kedah.
"Saya tak perlu dilantik MT. Saya masih (boleh hadir) MT, sebagai pengerusi badan perhubungan," katanya.
"Saya boleh bersuara tentang bagaimana mahu memajukan Kedah dan sebagainya," kata beliau ketika ditemui selepas ucapan dasar presiden Umno di ibu negara hari ini.
Beliau juga menjelaskan kehadirannya dalam mesyuarat khas MT semalam bukannya menggantikan bekas ahli PAS Mohammad Kazim Elias yang
menolak
lantikan sebagai anggota majlis itu.
Mukhriz turut menolak andaian bahawa bapa beliau, mantan presiden Umno Tun Dr Mahathir ( kanan ) Mohamad meletak jawatan sebagai Penasihat Petronas kerana beliau tidak dilantik sebagai ahli MT.
"Saya tak fikir ada sebarang hubungan sama sekali," kata beliau ringkas.
Alukan muzakarah di Kedah
Semalam, Malaysiakini melaporkan beberapa ahli akar umbi Umno Kedah melahirkan rasa kecewa kerana Mukhriz tidak dilantik menganggotai MT.
Mukhriz tidak tersenarai antara sembilan ahli MT lantikan oleh presiden Umno Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.
Sebelum itu beliau tewas tipis dalam persaingan enam penjuru untuk tiga tempat naib presiden Umno.
Sementara itu Mukhriz turut berharap kedua-dua pihak Umno dan PAS dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri Kedah melalui sebarang usaha muzakarah.
"Boleh gunakan Kedah sebagai contoh untuk hubungan antara Umno dan PAS," kata beliau.
