VIDEO l 4:37 min

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerima 10,000 surat bantahan kenaikan cukai pintu sejak notis kenaikan cukai itu dikeluarkan DBKL pada pertengahan November lepas.

    

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib berkata proses bantahan adalah hak rakyat untuk bersuara dan mengemukakan pandangan masing-masing.

    

Beliau berkata DBKL mengeluarkan lebih 500,000 notis kenaikan cukai pintu dengan 56 peratus membabitkan pemilik premis komersil.

    

"DBKL perlu mendengar semua bantahan terhadap cadangan kenaikan kadar yang dihantar oleh pemilik hartanah berkenaan selaras dengan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    

"Selepas tamat tempoh bantahan pada 17 Disember DBKL akan meneliti setiap bantahan dan sebarang keputusan yang dibuat boleh dilakukan atas budi bicara DBKL," katanya dalam sidang media selepas memberi taklimat mengenai program sangkutan di ibu pejabat DBKL hari ini.

    

Ahmad Phesal berkata DBKL juga akan mengkaji pengurangan peratusan cukai berdasarkan beberapa aspek, sekiranya perlu selepas meneliti surat bantahan yang diterima.

    

Beliau menjelaskan segala yang dilakukan oleh DBKL adalah berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan dan berharap rakyat akan bijak menjalankan tanggungjawab serta hak masing-masing.

Ketika ditanya mengenai demonstrasi yang bakal diadakan pada 16 Disember ini, Ahmad Phesal berkata: "Saya bersedia berdepan dengan rakyat. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan untuk berasa takut kerana saya hanya menjalankan tugas saya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada."

    

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini, tiada pihak yang memohon permit bagi mengadakan perhimpunan membantah kenaikan cukai pintu itu.

    

- Bernama