Kerajaan sedia menimbangkan bantuan khas kepada mereka yang ditimpa musibah banjir yang melanda beberapa negeri pantai timur ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

"Kita akan timbang apa yang patut selepas ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia memberi bantuan khas kepada mangsa banjir sepertimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

    

Terdahulu perdana menteri menaiki helikopter meninjau kawasan yang dilanda banjir di Pahang.

    

Beliau turut singgah di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah Pekan, Sekolah Kebangsaan Sungai Miang, Pekan dan Sekolah Kebangsaan Sungai Puteri di Rompin.

    

Ditanya tentang masalah bantuan yang dilaporkan lewat dan tidak mencukupi di pusat-pusat pemindahan banjir, Najib berkata masalah logistik melibatkan jalan utama terputus selain kawasan banjir yang luas, merupakan penyebab utama masalah itu.

    

Bagaimanapun perdana menteri berkata ketika ini semua bentuk bantuan di pusat-pusat pemindahan terlibat berjalan dengan lancar.

    

"Dalam lawatan saya hari ini (di pusat pemindahan terbabit), saya berpuas hati bahawa segala urusan membantu mangsa-mangsa banjir itu berjalan dengan baik, dan mereka telah mendapat layanan yang boleh dikatakan memuaskan daripada semua pihak termasuk daripada kerajan negeri, pejabat daerah dan agensi kerajaan yang lain," kata Najib.

    

Mengulas tentang masalah jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak mempunyai stok bekalan makanan kerana terikat dengan peraturan Jabatan Audit Negara, Najib berkata:

    

"Kita beri pengecualian (untuk tidak terikat dengan peraturan itu) sebab emergency, dalam keadaan darurat, perlu membeli makanan dengan segera," katanya.

    

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob semalam bahawa JKM dan jabatan kerajaan berkaitan tidak mempunyai stok bekalan makanan dan perlu membeli makanan di kedai terlebih dahulu untuk dihantar ke pusat pemindahan kerana terikat dengan peraturan ketat Jabatan Audit Negara.

    

Perdana menteri berkata masalah penghantaran bantuan bekalan makanan dan keperluan asas pada peringkat awal diakui menghadapi masalah disebabkan perkara-perkara berkenaan.

    

"Pada peringkat awal agak ada sedikit masalah, (dan) kekurangan, (tapi) hari ini sudah lebih selesa," katanya.

    

"(Sebelum ini) sumber kita agak terbatas, masalah jalan utama terputus, kita tak boleh guna kenderaan biasa, kenderaan tiga tan pun tak lepas (ke pusat pemindahan), perlu kenderaan lebih besar, (ini) satu pengajaran dari banjir, mesti ada kenderaan (yang) lebih besar (dalam operasi) menangani banjir," kata Najib.

    

Ditanya berkenaan bandar Kuantan yang lumpuh dua hari lepas berikutan sistem perparitan dan saliran yang dilihat tidak berkesan, perdana menteri berkata hujan lebat luar biasa antara penyebab berlakunya banjir buruk di bandar Kuantan.

    

"Sistem (perparitan dan saliran) berjalan, tapi belum berjalan mengikut program, ditambah pula dengan hujan luar biasa, tiga hari berturut-turut, volume air begitu besar," katanya.

    

Perdana menteri turut meminta orang ramai sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga berikutan pelbagai ramalan akan berlaku gelombang kedua banjir selepas ini.

    

"Ikut panduan dan dengar isyarat dan panduan yang diberikan Jawatankuasa Banjir Peringkat Negeri yang dipengerusikan menteri besar, apa apa patuhi arahan (pihak berkuasa)," katanya.

    

Sementara itu, di SEGAMAT, Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat meninjau dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan di sekitar daerah ini.

    

Sultan Ibrahim tiba di pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Pogoh 2, kira-kira pukul 3.40 petang dan beramah mesra serta bertanyakan tahap kesihatan kesemua mangsa.

    

Keberangkatan baginda yang turut menyampaikan bantuan barangan keperluan dan wang tunai menceriakan 26 keluarga yang berada di pusat pemindahan terbabit sejak empat hari lepas.

    

Baginda kemudian melawat dan menyampaikan bantuan yang sama kepada mangsa banjir di pusat pemindahan balai raya Kampung Paya Dalam dan balai raya Kampung Batu Badak.

    

Penghulu Mukim Pogoh Hamzah Abu Bakar ketika ditemui berkata 135 mangsa banjir dari Kampung Pogoh 2 masih ditempatkan di pusat pemindahan itu yang melibatkan 56 lelaki, 46 wanita, 32 kanak-kanak serta seorang bayi.

    

Beliau berkata kampung berkenaan kerap dilanda banjir, bagaimanapun, keadaan banjir ketika ini beransur pulih.

    

Sementara itu, seorang penerima bantuan, Azizah Mat Tap, 63, berkata keprihatinan Sultan Johor melawat rakyat yang berdepan dengan musibah

membuatkannya berasa terharu.

    

"Saya amat gembira dengan kunjungan Sultan Ibrahim yang sekurang-kurangnya mengubat sedih dan susah hati kami," katanya yang berharap banjir cepat pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

    

Di KOTA BAHARU, seramai 1,284 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di lima jajahan di sebelah petang berbanding tidak sampai 1,000 orang pagi tadi.

    

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, jajahan Kuala Krai merupakan jumlah terbesar mangsa yang berpindah iaitu 753 orang di enam pusat pemindahan di Mengkebang dan Olak Jeram.

    

Di jajahan Machang, 242 orang dipindahkan di lima pusat pemindahan iaitu di Ulu Sat, Labok, Pulai Chondong dan Temangan sementara di Pasir Puteh, seramai 109 orang dipindahkan di tiga pusat iaitu di Limbongan, Gong Datok dan Bukit Awang.

    

Di Tanah Merah, seramai 159 orang dipindahkan di tujuh pusat pemindahan di Bukit Panau dan Ulu Kusial sementara di Pasir Mas, hanya 21 orang yang dipindahkan di tiga pusat pemindahan di Kangkong dan Gual Periuk.

    

Paras air sungai utama di Kelantan dilaporkan semakin surut berikutan tiada hujan lebat direkodkan hari ini.

    

Namun Sungai Lebir di Tualang, Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Jambatan Guillemard serta di Sungai Golok, Rantau Panjang, bacaan paras airnya masih melepasi tahap bahaya, walaupun surut secara perlahan-lahan.

    

Di Tualang bacaannya kini mencecah 30.06 meter melepasi paras bahaya 35 meter, di Tangga Krai, bacaannya 25.25 meter (bahaya 25 meter), di Jambatan Guillemard 17.12 meter (bahaya 16 meter) dan di Rantau Panjang 10.37 meter (bahaya 9 meter).

    

Keadaan cuaca di Kelantan pada keseluruhannya mendung dengan sesekali hujan.

    

- Bernama