Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TNB nafi khabar angin pelepasan air Tasik Kenyir
Diterbitkan:  Dec 5, 2013 8:14 PM
Dikemaskini: 12:16 PM

Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyangkal khabar angin mengenai pelepasan air di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang tersebar luas di media sosial sejak tiga hari lepas.

    

"Setakat pagi ini, kedalaman di situ mencatat 138 meter. Kedalaman maksimum Kenyir 145 meter. Jadi kalau ikutkan, kita masih lagi boleh menampung air sehingga 6 hingga 7 meter.

    

"Jadi khabar angin empangan melepaskan air adalah tidak benar sama sekali," kata Pengurus Besar TNB Terengganu, Ir Saharenam Mukhtar

Sementara itu beliau berkata, di KEMAMAN, TNB terpaksa menutup 246 daripada lebih 500 pencawang di daerah ini berikutan banjir yang melanda.

    

Pengurus Besar TNB Terengganu Ir Saharenam Mukhtar berkata berikutan itu, sebahagian kawasan di Kemaman dan satu di Dungun terputus bekalan elektrik sejak Selasa.

    

"Penutupan itu membabitkan lebih 11,000 pengguna yang hanya dibuat di pencawang yang terletak di sekitar bandar Cukai, Air Putih, Neram dan Hulu Dungun.

    

"Kita harap pengguna bersabar kerana pencawang berkenaan akan dibuka semula jika keadaan banjir semakin surut. Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya litar pintas," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada penyerahan sumbangan bantuan TNB berupa keperluan asas kepada pegawai daerah Kemaman untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

    

Bantuan itu berupa air mineral, beras, lampin pakai buang, minyak masak dan sardin yang diserahkan kepada Pegawai Daerah Kemaman Mohamad Kamil Othman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS