Perwakilan Umno Kelantan, Datuk Norzula Mat Diah menyifatkan kekalahan Umno dalam pilihan raya umum Ke-13 lalu, bukan hanya kelebihan yang ada pada pembangkang sebaliknya kelemahan di kalangan pemimpin Umno sendiri.

Berucap ketika membahaskan ucapan dasar presiden, ADUN Paloh itu berkata terdapat sikap hasad dengki dalam diri pemimpin yang bertanding menyebabkan tiadanya semangat kesatuan antara Umno.

"Sikap ini ada dalam diri, puak-puak ini yang bawa kekalahan pada kita," kata ketua pembangkang DUN Kelantan itu.

Sebelum itu beliau telah membahaskan ucapan dengan panjang lebar antaranya berkaitan cadangan memasukkan sukatan mata pelajaran bahasa Cina dan bahasa Tamil untuk merapatkan integrasi kaum di Malaysia.

Pada ketika itu, amaran untuk menghentikan perbahasan sudah dikeluarkan Pengerusi Tetap, Tan Sri Amiruddin Baharuddin.

Bagaimanapun, Norzula meneruskan perbahasan dengan dialog berkaitan hasad dengki sehinggakan suasana menjadi gamat kerana mencuit hati perwakilan.

"Siapa lagi jahat daripada kita ini? Syaitan pun kata orang yang dengki inilah yang menjadi sampah. Orang yang dengki inilah yang jadi sampah dalam perjuangan," katanya.

Amiruddin sekali lagi mencelah sehingga mohon pertolongan Datuk Mustafa Mohamed menghentikan perbahasan. Norzula bagaimanapun tetap meneruskan ucapan.

"Nak ke kita jadi Melayu serupa Melayu di Singapura? Nak ke kita jadi Melayu di Champa Kemboja?

"Melayu seperti Melayu di Selatan Thailand, tidak ada kuasa, tidak ada hak, tapi kita di Malaysia kita Melayu punya hak, kuasa, maruah Melayu bermartabat, tetapi kita membunuh sesama kita.

"Ini perkara yang aku tak mahu kalau sesama kita nak bantah selalu," katanya dengan nada yang tinggi.

Kemudian, Amiruddin mengangkat dan menggoncangkan tukul sebagai tanda amaran supaya Norzula menghentikan perbahasan dan selepas itu Norzula merendah nada suaranya untuk menghabiskan ucapannya.