Siswa sebelahi pembangkang kerana diabai
Sedar sokongan anak muda masih tidak seperti yang diharapkan mereka, perwakilan Umno mahu menggandakan usaha untuk menarik sokongan golongan itu.
Beberapa perwakilan hari ini mencetuskan idea bagi menarik minat golongan muda kepada parti paling besar dalam negara itu.
Perwakilan Melaka Mustafa Musa berkata kebanyakan anak muda menyebelahi pembangkang lantaran pengabaian parti tersebut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara.
"Saya mencadangkan biro latihan Umno dan Biro Tata Negara diberi wajah baru untuk mengkaderkan harapan bangsa hingga menjadi teguh, seteguh banjaran Titiwangsa," kata beliau dalam perbahasan ucapan dasar presiden pagi ini.
Perwakilan Pahang Datuk Wan Kadri Wan Mahussin pula mahu gerakan sayap Pemuda dan Puteri diperkasakan bagi menarik golongan itu.
"Jumlah kepimpinan muda amat tinggi berbeza bilangan dengan anak muda sendiri," kata beliau.
Sementara itu Muhammad Hakim Jaafar mewakili Perwakilan Mahasiswa Nasional dari Kelab Umno Luar Negara mahu kewujudan segera akademi latihan dan orator untuk melatih pimpinan muda dalam menerangkan dasar parti dan berhubung dengan mahasiswa.
"Wujudkan akademi kepimpinan dan orator kerana pemuda cenderung untuk bertanya sebab untuk lakukan itu dan ini," kata beliau disokong penuh para perwakilan lain.
Ini merupakan kali pertama golongan Mahasiswa diberi tempat untuk berucap di Perhimpunan Agung Umno.

