Kerajaan akan tetap melaksanakan rangka dasar Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (NEB) walaupun mendapat bantahan dari segelintir pihak.

Menteri pendidikan yang juga Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan tersebut dirangka sedemikian rupa untuk memastikan sistem pendidikan negara diangkat ke taraf yang lebih tinggi.

"Saya tidak akan berdolak-dalik, saya akan terus bersikap tegas untuk mengimplimentasi insiatif bawah NEB ini tidak kira suara yang datang dari mana-mana pihak sekalipun kerana tujuan kita ialah untuk mengangkat martabat Malaysia ke kedudukan lebih tinggi menerusi sistem pendidikan negara," kata beliau dalam ucapan penggulungan timbalan presiden Perhimpunan Agung Umno ke- 67 hari ini.

Muhyiddin turut mengumumkan pelaksanaan kurikulum berasakan Islam di 85 kolej komuniti di seluruh negara mulai tahun depan.

Kurikulum berasas model 'ulul ahbab' ini dilihat mampu memantapkan jatidiri anak muda dan membekalkan perisai iman yang berkesan untuk mengatasi masalah moral.

Muhyiddin turut mengumumkan model berasas Al-Quran dan Hadis akan turut diperluaskan di sekolah agama bantuan kerajaan seluruh negara.

"Buat masa ini terdapat empat sekolah agama bantuan kerajaan di Terengganu menggunakan silibus ini.

"Tahun depan ada pelaksanaan di sekolah agama terpilih setiap negeri. Selain akademik, pelajar disasar agar dapat khatam hafazan Al Quran sebelum tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," kata beliau.

Muhyiddin yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan Umno juga menyatakan parti itu akan mengadakan persidangan agung khas dalam masa akan datang untuk menambahbaik sistem pemilihan parti.

"Bila selesai semua (badan perhubungan) negeri bermesyuarat Majlis Tertinggi akan tetapkan masa untuk Perhimpunan Agung Khas untuk prosedur dan penambahbaikan parti," kata beliau.