Malaysia perlu meratifikasi baki enam konvensyen antarabangsa berhubung hak asasi manusia yang penting bagi memperbaiki kedudukannya dalam arena global.

NONEKetua Pegawai Eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) berkata kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan Malaysia berada di kelompok bawah 10 negara dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)dari segi memperjuang isu hak asasi manusia.

Perkara ini merupakan antara yang dipersetujui dalam perbincangan Hari Hak Asasi Manusia di sini hari ini berdasarkan Semakan Berkala Sejagat (UPR) kedua oleh PBB pada 24 Okt lepas yang menyatakan Malaysia belum meratifikasi pelbagai perjanjian dan konvensyen sejak 1965.

"Kami memahami beberapa jawatankuasa teknikal diwujudkan sejak beberapa tahun lepas bagi meneliti konvensyen berkenaan. Kami harap hasilnya dapat dilihat menjelang 2018, jika tidak lebih awal," katanya kepada pemberita selepas mengendali perbincangan separuh hari anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) bersama GMM bertajuk 'Human Rights Priorities for Malaysia beyond 2013 UPR to 2018."

Anggota panel termasuk Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi MARA Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Profesor Madya Dr Raihanah Abdullah.

Setakat ini, Malaysia hanya meratifikasi tiga daripada sembilan Konvensyen Hak Asasi Manusia paling penting PBB iaitu Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD).

- Bernama