Seeorang warga emas maut selepas basikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kenderaan di Tanjung Piandang Perak, Sabtu lalu.

Laporan Sinar Harian menyebut, Mat Desa Salleh, 71, dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Subuh di sebuah surau sebelum kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 6.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan yang dipetik dalam laporan itu menyebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mengalami cedera parah di bahagian kepala dan badan selepas tercampak sejauh lima meter akibat pelanggaran itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurut saksi, Zainal Abidin, 62, berkata beliau cuba membantu mangsa apabila mendapati Allahyarham terbaring selepas dilanggar van tersebut.

Bagaimanapun, mangsa didapatinya telahpun meninggal dunia pada masa itu.