Pesakit bimbang setiap kali hujan di Hospital Serdang
Dalam masyarakat Melayu hujan dianggap rahmat. Tetapi di Hospital Serdang, yang sering terjadi insiden siling runtuh, anggapan sebaliknya berlaku.
Setiap kali hujan lebat, pelbagai pihak, terutamanya pesakit bimbang kejadian tidak diingini sekali lagi berulang.
Seorang pengunjung Vimala Singram (kanan), 50, berkata, adiknya yang dirawat di hospital itu kerana denggi sejak sebulan lalu menyuarakan perkara itu kepadanya.
"Biasanya bila hari hujan tiba-tiba akan runtuh, adik saya selalu risaulah waktu hujan. Mula-mula mereka kata bangunan baru sebab tu ada siling runtuh tapi sudah banyak kali jadi ini macam ini," katanya.
Ini memandangkan, pada tahun ini sahaja sudah empat kali berlaku runtuhan siling di situ. Manakala sejak insiden pertama pada 30 Januari 2011, sudah tujuh kali kejadian sama berulang.
Malah, dalam tempoh terdekat, dua runtuhan berlaku dalam jarak lima hari sahaja akibat hujan lebat.
Ketika ditemui Malaysiakini di hospital itu semalam, Vimala berkata, beliau sendiri pernah menyaksikan kejadian itu dengan mata kepalanya sendiri pada 2011.
"Dulu, pada tahun 2011, dekat tempat pendaftaran, siling jatuh, siling kaca. Nasib baik insiden selepas pukul 5 petang (ketika orang tidak ramai), kalau tak tahulah macam mana," kata Vimala.
Persoal kontraktor, jurutera projek
Sementara itu, seorang lagi pelawat yang hanya mahu dikenali sebagai Rani turut menyatakan kebimbangan itu sejak dimaklumkan perkara itu oleh saudaranya.
"Anak saudara ada beritahu saya (tentang runtuhan terkini kelmarin) pagi tadi. Saya pun terkejut. Tetapi hari ini kena datang tengok (doktor), adik. Jadi kena datang jugalah. Mahu buat macam mana?.
"Saya takut adik tapi saya kena mari juga," kata Rani lagi.
Bagi seorang ibu kepada tiga orang anak Siti Shahirah Mohd Harris (kiri) pula kini mengaku berasa negeri setiap kali berkunjung ke hospital, tambahan apabila melalui kawasan bersiling.
Pada masa yang sama, beliau berpendapat hospital harus mengambil langkah serius bukan sahaja terhadap kontraktor bertanggungjawab, sebaliknya jurutera projek juga perlu dipersoalkan.
"Tadi akak marah anak akak main dekat lobi, takut siling runtuh. Siling itu tinggi. Kalau kena dekat budak-budak ke, pesakit ke.
"Banyak (pihak) salahkan kontraktor tetapi akak rasa arkitek pun kena main peranan juga, sebab kelulusan semua atas arkitek," kata Siti Shahirah lagi.
Perkara sama disuarakan oleh seorang lagi pelawat Zainol Mohd Ali (kiri) yang mahu perkara itu tidak berlalu begitu sahaja, sebaliknya mesti ada pihak dipertanggungjawabkan ekoran masalah itu.
"Pada saya struktur binaan hospital ini teruk, (mereka) tidak ambil kontraktor berpengalaman. Siling runtuh bukan kesalahan kontraktor, arkitek juga. Sebab arkitek yang luluskan projek.
"Tempat lain saya tengok guna siling sama tidak ada masalah pun. Arkitek kena buat pemeriksaan," kata Zainol lagi.
Ramai pelawat tak sedar
Sementara itu, seorang lelaki Cina yang hanya mahu dikenali sebagai David turut menggesa siasatan segera berhubung perkara itu dibuat.
Sekaligus, beliau menegaskan pihak kerajaan supaya tidak memberikan tender projek kepada syarikat kurang berpengalaman atau memilih kroni.
"Hospital kena cepat cari punca, kerajaan kena ambil serius waktu pilih kontraktor. Selepas ini kalau ada projek periksa betul-betul syarikat.
"Kena tengok kontraktor, jangan pergi panggil syarikat daftar dua ringgit. Jangan kira (oleh kerana) kawan-kawan, bagi projek.
"Periksa itu syarikat ada kes atau tidak, sekarang ini kontraktor dan kerajaan banyak rasuah 'kaw-kaw'. Banyak main duit bawah meja punya," dakwanya.
Dalam tempoh tiga tahun terakhir, Hospital Serdang menjadi buah mulut orang ramai setelah berlaku runtuhan di lobi utama (dua kali), jabatan kecemasan dan unit rawatan rapi bayi serta kuarters kakitangan.
Dalam kejadian terkini kelmarin, musibah terkini berlaku di kuarters kakitangan hospital di Blok D Hospital Serdang, yang hampir-hampir mencederakan seorang isteri kakitangan dan empat anak mereka.
Sementara itu, kunjungan Malaysiakini ke Hospital Serdang semalam mendapati masih ramai pelawat belum sedar berhubung masalah itu, terutamanya kejadian terkini Isnin lepas.
Malaysiakini tidak dibenarkan masuk untuk meninjau kuarters kakitangan terlibat.
Sementara kawasan runtuhan sebelum ini di wad unit rawatan rapi bayi difahamkan pada 4 Disember lepas hampir dibaik pulih sepenuhnya (kiri).
Kakitangan hospital yang ditemui Malaysiakini rata-rata enggan mengulas berhubung insiden itu.

