Polis Pulai Pinang terima 103 Proton Preve
Polis Pulau Pinang hari ini menerima 103 buah Proton Preve 1.6 CVT Premium untuk diagihkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di negeri itu.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kenderaan yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih itu akan memudahkan pegawai penyiasat menjalankan tugasan mereka.
"Penambahan itu dibuat untuk memantapkan lagi tugasan pegawai penyiasat seperti mana yang ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mempercepat waktu respon pegawai penyiasat untuk ke lokasi yang berlaku jenayah.
"Kereta itu akan diagih kepada cawangan JSJ di setiap daerah di negeri ini mengikut kekuatan anggota balai serta keperluan kawasan," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Bacaan Ikrar Bulanan di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) hari ini.
Di majlis itu, Abdul Rahim turut menyampaikan surat penghargaan kepada 187 anggota dan pegawai yang berkhidmat cemerlang dalam penugasan masing-masing.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata indeks jenayah di negeri menunjukkan penurunan sebanyak 351 kes atau 4.47 peratus sepanjang Januari sehingga semalam berbanding tempoh sama tahun lepas.
"Jenayah harta benda turut menunjukkan tanda positif apabila menurun sebanyak 7.3 peratus atau 485 kes namun jenayah kekerasan meningkat 134 kes atau 11.2 peratus berbanding tempoh sama tahun 2012.
"Kita menjalankan pelbagai usaha bagi memastikan indeks jenayah terutama berkaitan jenayah kekerasan dapat dibendung daripada terus meningkat," katanya.
- Bernama

