Exco Hal Ehwal Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Kassim menolak dakwaan bahawa pemilihan jawatankuasa masjid di negeri itu telah dicemari penyelewengan.

Abdul Malik juga menolak tanggapan bahawa terdapat kerjasama antara PAS dan Umno di kediaman Gabenor Pulau Pinang di Jalan Utama untuk menyelesaikan isu itu.

Abdul Malik berkata beliau telah meminta Pesuruhjaya PAS negeri itu, Datuk Salleh Man untuk menjelaskan hal ini kerana beliau dikatakan telah bertemu dengan Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman di kediaman Gabenor untuk membincangkan perkara itu.

Zainal Abidin kemudiannya memberitahu media bahawa tujuan beliau bertemu Tun Abdul Rahman Abbas dan Salleh adalah untuk menyerahkan memorandum mengenai masalah pemilihan masjid.

Bekas ahli Parlimen Nibong Tebal itu juga berkata dalam pertemuan dengan Salleh, beliau telah mengambil inisiatif di mana Umno dan PAS boleh bekerjasama untuk kebaikan masyarakat Islam di negeri itu.

Tetapi Abdul Malik berkata Salleh hadir pertemuan itu kerana Abdul Rahman menjemput yang dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) menghadirinya, yang diadakan pada pertengahan bulan September.

Itulah yang sebenarnya berlaku, kata Abdul Malik.

Tambahnya, Salleh menafikan pernah berkata bahawa dalam pertemuan di kediaman Gabenor di Jalan Utama itu, beliau telah mengakui memang ada "campurtangan negeri' dalam pemilihan AJK masjid.

Malik merujuk kepada laporan New Straits Times pada 21 November yang memetik Zainal Abidin sebagai berkata bahawa Salleh, yang juga yang dipertua MAIPP, "bersetuju untuk menggantikan yang kalah dengan pemenang sebenarnya tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana 'campurtangan luar biasa" oleh pentadbiran negeri".

Apa yang Zainal Abidin maksudkan ialah dalam beberapa kes, mereka yang kalah dalam pemilihan itu, telah dilantik menganggotai jawatankuasa itu, dan bukan mereka yang menang.

Adalah dipercayai bahawa Abdul Malik telah menghantar surat kepada Salleh meminta penjelasan mengenai "petikan berkenaan" berikutan penyiaran laporan tersebut.

Menurutnya, antara 13 masjid yang disebut oleh Zainal Abidin itu, hanya lapan bermasalah, dan ada yang sudah diselesaikan dan ada yang belum dapat diselesaikan dan pihaknya sedang menelitinya.

Abdul Malik memberitahu pemberita demikian di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menurut Abdul Malik, masalah yang timbul dalam pemilihan AJK masjid, yang diadakan sejak Februari tahun ini, termasuk "ahli-ahli yang tidak berkelayakan dengan rekod prestasi yang tidak memuaskan, sudah berusia, mempunyai masalah peribadi dan kesihatan, lemah kemahiran pengurusan, gagal mengadakan mesyuarat dan mereka yang kewibawaannya dipertikaikan oleh imam masjid".

[Baca berita penuh]