Kerajaan Selangor digesa tidak menjual 30 peratus saham syarikatnya dalam Kesas Holdings Bhd kepada Gamuda Bhd yang mahu mengambil alih baki 50 peratus kepentingannya dalam syarikat konsesi tol itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara Ng Sze Han berkata, tindakan itu perlu dielakkan supaya kerajaan negeri dapat menghalang kenaikan harga tol pada masa depan.

“Jika kerajaan negeri ingin meneruskan penjualan tersebut, keuntungan sebanyak RM36juta yang akan diperoleh melalui jualan itu harus diterjemahkan kepada program tol percuma sehari kepada pengguna lebuh raya Kesas pada hujung minggu.”

“Saya melihat, pemberian tol percuma pada hujung minggu dapat membuktikan usaha kerajaan Pakatan Rakyat dalam merealisasikan manifesto pilihan raya,” katanya.

Gamuda semalam dilapor mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih baki 50 peratus kepentingan dalam Kesas yang tidak dipegangnya pada RM700 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Gamuda berkata kini 30 peratus daripada saham Kesas dikuasai oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan lagi 20 peratus oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB).

Menurut syarikat itu, ia juga telah mendapat tawaran pada prinsipnya daripada PNB berkaitan tawaran baharu itu.

Sejajar dengan itu, Gamuda berkata ia telah menyemak semula pertimbangan pembelian berhubung dengan tawaran diterima oleh Amcorp Properties Bhd pada 18 Dis, 2013 dari RM250 million kepada RM280 million.

Pada 18 Dis, 2013, Gamuda menambah kepentingannya dalam Kesas daripada 30 peratus kepada 50 peratus berikutan penerimaan daripada Amcorp untuk melupuskan semua sahamnya dalam Kesas.