'Kami bukan penganjur, tapi pengajak demo'
Himpunan protes kenaikan harga barang pada malam tahun baru di Dataran Merdeka tidak akan meminta permit polis, kata pengerusi NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) Azan Safar.
Beliau berkata himpunan itu tidak dianjur oleh NGO sebaliknya oleh rakyat dan NGO seperti TURUN serta “Gerakan 31 Disember” hanya 'mengajak' rakyat berkumpul.
Bagaimanapun beliau berkata pihak NGO sanggup berbincang dengan polis jika ada perkara berbangkit.
"Kita hanya mengajak, bukan menganjur. Penganjurnya ialah rakyat.
"Bagi kita, Perkara 10 Perlembagaan (Persekutuan) sudah jelas hak untuk berhimpun tapi kita harap polis dapat beri kerjasama," kata beliau dalam temuramah bersama Malaysiakini hari ini.
Rakyat bukan penyamun
Azan berkata, sebagai NGO 'mengajak' dan bertanggungjawab, mereka bagaimanapun menyediakan kawalan keselamatan dan pasukan perubatan bagi menjamin perjalanan acara dengan baik.
Beliau berharap polis dapat memberi kerjasama baik sepertimana Himpunan Kebangkitan Rakyat Januari lalu.
"Rekod perhimpunan lalu telah membuktikan tiada provokasi berlaku dan keadaan aman bila semua termasuk polis bekerjasama. Yang datang tu rakyat, bukan penyamun, penyangak semua," kata beliau.
Beliau turut menafikan dakwaan himpunan itu didalangi pembangkang dan mempunyai motif politik untuk parti pembangkang.
"Tiada pimpinan pembangkang yang cuba ketuai himpunan ini. Kita ajak semua parti politik untuk bersama.
"Umno juga boleh ikut serta, mereka juga rakyat.
"Objektifnya adalah untuk mendesak agar kos kehidupan turun. Kalau dikatakan mereka yang menentang sesuatu yang dibuat kerajaan semua pembangkang, susah. Pemikiran itu dah ketinggalan zaman," kata beliau.

