Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membatalkan pertunjukan bunga api bagi menyambut tahun baru 2014 dalam acara di Kuantan pada malam tadi sebagai tanda kepekaan pada warga negeri itu, yang menghadapi bencana banjir buruk bulan lalu.

Laporan Berita Harian memetik kenyataan Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob yang berkata, pembatalan secara mengejut itu dibuat kerana “peka terhadap pandangan ramai”.

“Susulan pembatalan mengejut ini, diharap tidak menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang ramai, kerana kita sudah membuat hebahan sejak beberapa minggu lalu.

“Ketika ini, kita juga dalam situasi berwaspada dan kebimbangan berikutan ramalan mengenai gelombang kedua banjir,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Sambutan di Pantai Rekreasi Balok itu sepatutnya turut menampilkan persembahan kebudayaan, nanyian dan pantomim.

Banjir di Pahang, antara yang terburuk pernah melanda negeri itu, menyebabkan lebih 40,000 orang dipindahkan pada awal bulan lalu.

Keadaan sambutan di Kuantan itu berbeza dengan suasana meriah dengan pertunjukan bunga api di kawasan Putrajaya, Shah Alam, Melaka dan Alor Setar pada malam tadi.

Malah, pertunjukan bunga api juga dapat dilihat dari kawasan Dataran Merdeka yang menjadi lokasi perhimpunan oleh NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup pada malam tadi.

Pertunjukan tersebut dipercayai diadakan di kawasan berdekatan, di sebelah barat daya Dataran.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dalam satu laporan Bernama hari ini menyebut, pertunjukan bunga api di Dataran sememangnya dibatalkan pada malam tadi.

Katanya, tindakan itu dibuat ekoran tindakan peserta perhimpunan untuk membantah kenaikan kos sara hidup yang merempuh masuk ke Dataran.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dilaporkan memperuntukkan RM15 juta untuk sambutan tahun baru 2014.