Uskup Katolik Dr Paul Tan Chee Ing menganggap serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam sebagai "satu lagi bab dalam senarai pelanggaran pihak berkuasa ke atas hak kebebasan Kristian mengamalkan agama mereka seperti termaktub dalam perlembagaan."

"Hanya seorang yang mampu menghentikan kegilaan ini dan beliau ialah perdana menteri," kata ketua Gereja Katolik keuskupan Melaka-Johor itu hari ini.

"Tetapi, saya takut beliau (Najib) terlalu pengecut untuk melakukan apa-apa dan ia bermakna hubungan Muslim dan Kristian yang telah pun mula meruncing sejak tiga tahun lalu ini bakal menjadi lebih teruk," kata beliau.

Pegawai JAIS, yang diiringi anggota polis menyerbu premis persatuan itu di Damansara semalam dan merampas beberapa naskhah Bible berbahasa Melayu.

Pengerusinya, Lee Min Choon dan pengurus pejabat Sinclair Wong disoal siasat di balai polis Damansara selama 90 minit sebelum dibebaskan dengan jaminan.

Kedua mereka diminta melaporkan diri ke pejabat JAIS pada 10 Januari depan untuk membantu siasatan lanjut.

Penyelesaian 10-perkara dicabul

"Siapa yang beri JAIS kebenaran untuk menyoal Kristian perkara yang hanya berkenaan dengan agama mereka sendiri? Adakah JAIS, dengan bantuan polis, telah menjadi seperti Gestapo di Malaysia?" tanya beliau.

Beliau berkata serbuan JAIS ke atas BSM dan soal siasat ke atas pekerja BSM telah mencabul ' penyelesaian 10 perkara ' antara kerajaan dan kumpulan Kristian setelah kontroversi berkenaan penggunaan perkataan 'Allah' dihangatkan semula pada 2011.

[Baca berita penuh]