PKR mahu jadi orang tengah isu rampasan Bible
PKR menawarkan menjadi 'orang tengah' bagi mempertemukan semua pihak yang terlibat dalam “konflik” selepas serbuan di Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan rampasan Bible berbahasa Melayu semalam.
Parti itu berpendapat, prejudis di kalangan sebahagian penganut Islam dan Kristian kebelakangan ini boleh diselesaikan secara praktis dan harmoni meskipun terdapat beberapa halangan.
"PKR berharap semua pihak yang terlibat tidak terperangkap dengan agenda musuh yang mahu melihat hidup aman dan toleransi beragama menjadi musnah.
“Masyarakat berbilang agama di Malaysia selama ini telah berjaya membina suasana harmoni, saling hormat menghormati dan bertolak ansur," kata ketua penerangan Dr Muhammad Nur Manuty ( gambar atas, berbaju putih ).
Mujahid: Gereja patut tegaskan pendirian
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar daripada PAS Dr Mujahid Yusuf Rawa pula berkata, serbuan dan rampasan 321 Bible berbahasa Malaysia itu sebenarnya bercanggah dengan perintah Allah dalam al-Quran sendiri.
Jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, penggunaan perkataan “Allah” dalam Injil bukan alasan untuk mengambil tindakan tanpa bukti kukuh terdapatnya gugatan terhadap akidah tauhid Islam.
"Merampas kitab suci penganut agama lain walaupun atas nama larangan menggunakan perkataan 'Allah' perlu ditangani dengan hikmah dan teliti kerana ia akan memburukkan sifat rahmat Islam kepada semua penganut beragama, antara lainnya ialah hak kebebasan beragama mereka termasuk kitab suci mereka.
"Memaksa orang lain dalam agama bukan bererti secara fizikal sahaja tetapi menentukan apa yang boleh dan tidak boleh ke atas agama lain juga adalah bentuk paksaan yang dilarang oleh Islam," kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, beliau mahu gereja dan Majlis Kristian Persekutuan (CFM) menyatakan pendiriannya dengan tegas bahawa mereka tiada agenda tersembunyi yang boleh menjejaskan keharmonian kehidupan beragama di Malaysia.
Ia, menurutnya lagi, bagi menghilangkan keraguan pihak tertentu yang mendakwa proses Kristianisasi sedang berlaku di negara ini.

