Sebanyak 150 orang daripada 24 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran melibatkan 14 rumah setinggan di Jalan Kampung Bakau dekat Sandakan hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Devi Rashedee Ensoi berkata empat jentera bersama-sama 26 anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.08 pagi.

Menurutnya anggota bomba menghadapi kesukaran memadamkan api disebabkan tiada sumber air terbuka dan api merebak dengan cepat disebabkan kedudukan rumah yang rapat.  

Menurutnya api dapat dikawal pada 5.16 pagi dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Sandakan Che Muhammad Azlan Che Mohammad berkata punca kebakaran dipercayai disebabkan masalah pendawaian elektrik, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan.

- Bernama