Polis: Ribuan ke P Pinang bukan untuk lumba haram
Polis mengesahkan kehadiran ribuan penunggang motosikal ke negeri ini sejak pagi Jumaat lepas bukan untuk menyertai perlumbaan haram secara besar-besaran, tetapi sekadar menghabiskan cuti hujung minggu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil siasatan mendapati kumpulan penunggang dari Johor, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu bukanlah 'mat rempit' sebagaimana laporan akhbar hari ini.
"Kita kekurangan maklumat tujuan sebenar kumpulan penunggang motosikal ini masuk ke negeri ini, sebab itu kita adakan sekatan jalan di kawasan strategik untuk elak kejadian tidak diingini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Majlis Belia Daerah Timur Laut 2014, di Georgetown hari ini.
Beliau berkata polis turut berjumpa dengan beberapa ketua kumpulan terlibat dan menasihati mereka supaya tidak bergerak dalam kumpulan besar bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas selain meminta mereka menjaga kelakuan.
Katanya susulan 10 kes samun jalanan dan kes ragut yang diterima sejak Jumaat lepas, polis telah mengadakan pemeriksaan di hotel bajet sekitar Tanjong Tokong, Tanjong Bungah dan Batu Ferringhi, namun tiada bukti mengaitkan kumpulan terbabit dengan perbuatan jenayah berkenaan.
Katanya polis tidak menghalang kumpulan motosikal berkenaan untuk bergerak selagi mereka patuh kepada undang-undang dan sehingga kini polis tidak menerima laporan mengenai ada kegiatan lumba haram sejak kumpulan terbabit tiba di Georgetown.
Beliau berkata lebih 1,000 penunggang motosikal diperiksa semalam dan 10 daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja.
Menurut Gan setakat ini polis mengeluarkan 110 saman melibatkan pelbagai kesalahan antaranya ubah suai kenderaan tidak mengikut spesifikasi, menggunakan plat kenderaan bersaiz kecil, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Semalam polis menahan lebih 1,000 penunggang motosikal termasuk 10 wanita kerana disyaki terlibat dalam rancangan perhimpunan secara besar-besaran di Batu Ferringhi sempena sambutan tahun baharu.
- Bernama

