SUPP diberi notis tunjuk sebab, 2 cawangan batal
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) telah diberi Notis Tunjuk Sebab oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kenapa pendaftaran parti itu tidak boleh dibatalkan, kata Setiausaha Agung parti itu, Prof Dr Sim Kui Hian.
Selain itu, katanya, ROS telah membatalkan pendaftaran dua cawangannya iaitu Piasau dan Bekenu kerana melanggar perlembagaan parti dalam proses pemilihan peringkat cawangan pada 2011.
Beliau berkata surat Notis Tunjuk Sebab dan Notis Perintah Pembatalan dua cawangan itu, bertarikh 6 Jan 2014, diserahkan kepadanya oleh Pengarah ROS Sarawak Ken Leben semalam.
Kedua-dua cawangan itu dibatalkan pendaftaran selepas pihak ROS tidak berpuas hati dengan jawapan kepada Notis Tunjuk Sebab yang dikeluarkan pada 6 Jun tahun lepas.
ROS mengeluarkan Notis Tunjuk Sebab kepada dua cawangan tersebut susulan aduan yang diterima daripada anggota parti itu yang tidak berpuashati dengan proses pemilihan parti itu pada Persidasngan Tritahunan Perwakilan (TDC) parti itu pada Disember 2011.
"Kepimpinan semasa parti akan melakukan apa yang diperlukan untuk mengekalkan status parti dan saya pasti semua ahli juga mahu tindakan yang perlu diambil oleh kepimpinan parti.
"Oleh itu, bagi pihak Jawatankuasa Pusat dan Jawatankuasa Kerja Pusat, saya ingin merayu semua ahli supaya tenang, bertoleransi, sabar dan memahami yang sukar yang dihadapi oleh parti yang bersejarah ini.
"Sebelum ini, kita telah menghadapi kesulitan dan telah mengatasinya. Dengan keberanian dan keazaman, saya yakin kita dapat menghadapi situasi ini dan mengatasinya," kata Sim dalam kenyataan di sini.
Berhubung cawangan Piasau dan Bekenu, katanya: "Usaha sedang dibuat oleh dua bekas pengerusi cawangan itu dan pasukan mereka untuk memastikan semua tindakan dan prosedur yang perlu dipatuhi dengan sewajarnya dalam mengemukakan rayuan di bawah Akta Pertubuhan.
"Selain itu, saya mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan bahawa keahlian anggota cawangan Piasau dan Bekenu masih sah dan diletakkan di bawah parti pusat. Mulai sekarang semua aktiviti ahli bekas cawangan itu akan diuruskan oleh parti pusat," katanya.
SUPP, parti tertua di Sarawak,telah berpecah kepada dua puak menjelang TDC 2011 dengan pengerusi cawangan Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh memimpin satu kumpulan manakala satu lagi dipimpin oleh presiden Tan Sri Peter Chin Fah Kui.
- Bernama

