Bekas polis Jude Pereira tak dibenar jadi peguam
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bantahan Majlis Peguam terhadap perakuan bekas pegawai polis Jude Blacious Pereira sebagai peguambela dan peguamcara.
Pereira sebelum ini menjadi penyiasat polis dalam perbicaraan kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kemudiannya dilepaskan.
Pereira memohon menjadi pengamal undang-undang di Ipoh selepas selesai latihan guaman (chambering) setelah bersara daripada pasukan polis dengan pangkat superintenden.
Peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Pavendeep Singh berkata, Majlis Peguam membantah petisyen Pereira kerana mendapati dia “bukan saksi berwibawa” semasa pendengaran berkaitan hak asasi manusia dalam kes tangkapan lima peguam di Kuala Lumpur.
Justice Zaleha Yusof bersetuju dengan pandangan Majlis Peguam bahawa Pereira “tidak layak dan bukan orang yang sesuai untuk diakui sebagai peguam untuk beramal di Mahkamah Tinggi Malaya”. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan peguam Pavendeep Singh yang mewakili Majlis Peguam memberitahu pemberita bahawa mahkamah memutuskan Majlis Peguam mempunyai hak untuk membantah kemasukan Jude selaku peguambela dan peguamcara dan membenarkan bantahan itu.
Katanya mahkamah juga membuat perintah berbangkit bagi petisyen Jude untuk kemasukan, dibatalkan.
"Mahkamah menetapkan hari ini untuk keputusan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung bantahan Majlis Peguam. Pada asasnya mahkamah bersetuju dengan hujahan kami," katanya.
Dalam penghujahan itu, Majlis Peguam membantah petisyen Jude berdasarkan hasil inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes penahanan lima peguam semasa perhimpunan menyalakan lilin, mendapati Jude bukan saksi berwibawa.
Majlis Peguam berhujah panel inkuiri memutuskan pempetisyen (Jude) yang merupakan pegawai polis berjawatan kedua tertinggi bertugas semasa kejadian itu, pada 7 Mei 2009, bertindak secara mala fide.
Ia juga berkata hakim Mahkamah Tinggi Jenayah dalam keputusannya mendapati pempetisyen selaku pegawai penyiasat dalam kes liwat Anwar, telah mengusik bukti yang digunakan dalam perbicaraan itu.
Majlis Peguam dalam notis bantahannya berkata Jude selaku pempetisyen telah memfailkan petisyen untuk diterima masuk pada 23 Julai 2012 dan dipanggil untuk diterima masuk di bawah Seksyen 36(2)(a) dan (b) Akta Profesion Undang-Undang 1976 (LPA).
Beliau bagaimanapun, gagal dalam peperiksaan Amalan dan Etika Profesional anjuran Majlis Peguam pada 13 dan 14 Mac tahun lepas.
Majlis Peguam melalui surat bertarikh 15 Mac tahun lepas memaklumkan kepada pempetisyen yang ia akan membantah kemasukan beliau sebagai peguambela dan peguam cara atas alasan beliau tidak layak dan sesuai untuk kemasukan ke Majlis Peguam di bawah Seksyen 11 (1) LPA.

