MB: Giat Mara Selayang perlu pembaikan
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata beliau tidak mahu melayan dakwaan Umno bahawa kerajaan negeri mahu menutup Pusat Giat Mara di Selayang, dekat ibu negara.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, kerajaan negeri pada 4 Disember lalu memberi notis kepada Giat Mara Sdn Bhd setelah mendapati keadaannya tidak mencapai tahap yang baik dan perlu pembaikan.
Pusat itu didikan akan tanah milik kerajaan negeri.
"Kita bagi notis satu tahun untuk pihak Giat Mara Sdn Bhd memperbaiki bangunan dan kemudahan di situ serta membuktikan kemampuan mereka kepada kerajaan negeri.
“Kalau (mereka) tidak mampu, kita akan ambil alih kerana ada syarikat yang berminat memberi latihan membuat alatan kapal terbang," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.
Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan memprotes apa yang didakwanya penindasan yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor terhadap orang Melayu.
Sohaimi dilaporkan mendakwa pusat Giat Mara yang beroperasi sejak 1993 di Selayang untuk membantu anak Melayu dalam bidang kemahiran setelah tamat persekolahan atas usaha MARA, kini diusir satu persatu di Selangor untuk kepentingan politik dan perniagaan Pakatan Rakyat.
Khalid berkata pasukan khas tanah Selangor yang memeriksa tanah milik kerajaan negeri untuk mengenalpasti dan membuat laporan terhadap setiap tanah milik kerajaan negeri.
Hal ini tambah Khalid, untuk bersedia dan mengemaskini akaun tanah di setiap daerah Selangor dalam pangkalan data tanah kebangsaan.
Bagaimanapun, katanya, pasukan tersebut mendapati tanah yang diduduki Pusat Giat Mara itu sepatutnya didirikan sebuah dewan orang ramai dan bukannya pusat latihan vokasional.
"Dalam tiga empat tahun akan datang, satu sistem perakauanan negara akan menyatukan akaun dan laporan tanah setiap negeri
"Jadi bila hal ini berlaku, pegawai tanah daerah Gombak (di bawah kerajaan negeri) telah keluarkan satu notis," katanya.

