TPM umum tubuh JK khas tangani kos sara hidup
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup yang dipengerusikan beliau sendiri bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup rakyat dan harga barang secara bersepadu.
Timbalan perdana menteri berkata penubuhan jawatankuasa itu yang merupakan lanjutan daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Menangani Kos Sara Hidup, dan diperluas skop dan peranannya, diputuskan pada mesyuarat Kabinet 8 Januari lepas.
Antara peranan jawatankuasa itu ialah menyelaras pelaksanaan dasar dan program pelbagai kementerian dan agensi terlibat dalam usaha mengurangkan beban rakyat.
Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan bekerjasama dengan jawatankuasa Dasar Fiskal yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya dalam meneliti dasar cukai kerajaan dan rasionalisasi subsidi.
"Hasil kajian akan diuar-uarkan kepada umum melalui pelbagai media bagi memudahkan rakyat membuat perbandingan dan faham mengenai realiti sebenar kenaikan harga," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin berkata ia termasuk kajian berkaitan kenaikan harga yang tiada kaitan dengan langkah konsolidasi fiskal, tetapi berpunca daripada isu struktur pasaran, termasuk isu bekalan serta sistem pemasaran.
Jawatankuasa itu juga akan melaksanakan kajian sektorial mengenai kesan sebenar kenaikan kos input terhadap peningkatan harga barang keperluan dan seterusnya membuat unjuran kenaikan harga barang yang munasabah dan berpatutan, katanya.
Beliau menjelaskan bahawa jawatankuasa itu juga akan mengadakan perbincangan dengan persatuan-persatuan pengguna dan wakil sektor perniagaan, serta pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan, bagi memahami dan menangani isu berkaitan dengan pembekalan barang perkhidmatan, rantaian bekalan, persaingan, penguatkuasaan dan faktor lain yang menentukan harga barangan.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak sebagai sekretariat serta peneraju jawatankuasa itu, manakala lain-lain kementerian dan agensi relevan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pengangkutan dan sebagainya dilantik sebagai anggota.
Tubuh makmal khas
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan turut memutuskan untuk mewujudkan sebuah makmal khas selama dua minggu bermula hari ini untuk mengkaji langkah-langkah bagi mengurangkan beban rakyat.
Jawatankuasa itu juga berperanan mengkaji secara holistik, konsolidasi fiskal yang perlu dilaksanakan bagi memastikan rakyat tidak terbeban, serta bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat.
"Selain wakil kementerian serta agensi yang berkaitan, makmal ini juga disertai oleh wakil-wakil pelbagai persatuan pengguna, pihak industri, golongan akademik, pelajar dan sebagainya, untuk memberi input serta pandangan dalam menangani kos sara hidup," kata Muhyiddin.
Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan juga akan ditingkatkan lagi bagi mengambil tindakan lebih berkesan terhadap para peniaga yang didapati mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.
Selain itu, katanya, antara yang dirancang ketika ini ialah usaha mempromosi atau melancar semula semula konsep Kedai Rakyat 1Malaysia, menu Sarapan 1Malaysia di samping memperbanyak sesi turun padang bagi setiap kementerian.
"Ketika ini KPDNKK membentangkan laporan kepada jemaah menteri semua aspek mengenai harga barang, seperti trend harga menaik, menurun, melintang. Tak semua harga barang naik, ada juga yang turun, tapi mungkin yang turun tu orang tak minat, orang minat yang naik harga. Sekarang kita ambil perhatian lebih mengenai perkara itu dan kena teliti dengan halus, beri perhatian dan ambil tindakan," katanya.
- Bernama

