Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata barisan kabinet tidak perlu menunggu 'rotan' dari Timbalan Perdana Menteri (TPM) untuk melakukan kerja.

Malah, beliau berkata kewujudan Jawatankuasa Khas tidak perlu dibuat sekiranya ada kerjasama atau koordinasi dari kementerian yang terbabit.

"Kadang-kadang koordinasi antara kementerian ini kurang. Kalau ada koordinasi tak perlukan ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM)

"Kabinet bermesyuarat setiap minggu, jadi sepatutnya tak perlu TPM bawa rotan pastikan mereka bekerja," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi komen mengenai penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani kenaikan harga barang dan kos kehidupan yang diumumkan TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Nur Jazlan yang juga ahli parlimen Pulai berkata amat penting bagi kerajaan melihat perkara yang membebankan rakyat.

"Saya dah katakan dulu, perlu prihatin terhadap masalah rakyat. Rakyat marah kerana rasakan yang menteri tak prihatin masalah mereka," katanya.