Kelewatan dan pertambahan kos KLIA2 adalah disebabkan perubahan pelan dan keperluan industri penerangan yang berubah-ubah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohammed.

Beliau berkata hal itu dimaklumkan oleh wakil dari Kementerian Pengangkutan yang memberi keterangan selama lebih tiga jam kepada PAC di Parlimen hari ini.

"Industri penerbangan dunia berubah dengan cepat, mula-mula KLIA2 dirancang untuk 25 juta pengguna (setahun) sekarang kena tambah 45 juta pengguna.

"Jangkaan ini dari IATA (International Air Transport Authority) berikutan pertambahan permintaan penerbangan kos rendah," katanya dalam satu sidang media.

Bagaimanapun Jazlan berkata, PAC masih belum membuat sebarang keputusan dan perlu memeriksa sepenuhnya semua kenyataan mengenai KLIA2 sebelum membuat laporan.

"Saya tak kata saya dah puas hati dengan penjelasan (Kementerian Pengangkutan).

"Kami akan terbitkan  laporan penuh selepas meneliti semua pihak," kata beliau.

KLIA2 merupakan projek Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB) yang telahpun ditunda pembukaannya beberapa kali.

Lapangan terbang baru itu sepatutnya siap April tahun lalu dan kini dijangka dibuka pada 2 Mei depan.

Kementerian Komunikasi dipanggil 22 Jan

Kos projek itu pula bertambah dari RM 1.6 bilion kepada RM 4 bilion kini.

Pada 7 Januari lalu, pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata terminal penerbangan itu bakal mendapat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada akhir bulan ini dan secara purata kini 98 peratus siap dan mengikut jadual untuk dibuka pada 2 Mei.

Beliau berkata dengan perolehan sijil CCC nanti, ujian Kesediaan Operasi dan Pindahan Lapangan Terbang (ORAT) akan mula dilakukan ke atas lapangan terbang berkenaan selama tiga bulan sebelum tarikh pembukaannya.

Sementara itu, Jazlan turut berkata, PAC akan membuat lawatan ke KLIA2 untuk menilai kesediaan projek itu bulan hadapan semasa ORAT dijalankan.

Menurut beliau Kementerian Pengangkutan memberitahu projek itu dibiayai sepenuhnya oleh MAHB tanpa menggunakan wang kerajaan.

"Walaupun projek itu dibiayai sepenuhnya oleh MAHB, demi kepentingan awam, kami akan ambil semua langkah untuk menyelesaikan masalah," kata beliau.

Pemegang Saham terbesar MB ialah Khazanah Nasional Bhd, sebuah syarikat pelaburan milik kerajaan.

Sementara itu Jazlan memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bakal dipanggil pada 22 Januari depan berkaitan keadaan kewangan agensinya, Finas.