Pemuda Umno Johor mahu SJKC Nan Ya dikena tindakan
Pemuda Umno Johor mahu tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa terhadap pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya yang memaksa seorang guru perempuan Muslim membuka tudungnya jika mahu terus mengajar di situ.
Berita Harian memetik Ketuanya, Hahasrin Hashim sebagai berkata walaupun permohonan maaf telah dibuat, hukuman tetap perlu dikenakan supaya isu sama tidak berulang.
"Kita menghormati keputusan yang dibuat tetapi ia tidak mencukupi dan berharap segala proses berkaitan undang-undang serta tindakan tatatertib berjalan seperti biasa sebagai pengajaran untuk semua.
"Pemuda Umno negeri juga akan menjadi antara pihak yang memantau perkara ini bagi memastikan apa yang didesak (hukuman dilaksanakan) sepenuhnya," katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan yang polis memaklumkan siasatan kes itu masih lagi diteruskan selagi pengadu tidak menarik balik laporan yang dibuat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman berkata, selepas siasatan selesai, kertas siasatan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
"Kita berharap kes ini selesai, namun selagi pihak pengadu tidak menarik balik laporan kes ini, selagi itu kes ini berjalan," katanya.
Beliau dilaporkan memberitahu demikian ketika ditemui selepas majlis muhibah Pengerusi Lembaga Pengurusan SJKC Nan Ya, Phang Ah Ngang dan guru besar, Chiew Swee Tuan yang meminta maaf secara terbuka kepada guru itu, Choi Yi Shan di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Kota Tinggi.
Isu tudung: Pengurusan sekolah mohon maaf

