Liow: Siapa dulu langgar perjanjian
Menjawab tuduhan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebaliknya berkata bekas presiden itu yang gagal menghormati dua perjanjian yang dimeterai sebelum ini.
Menyangkal kenyataan Chua, beliau dilaporkan berkata semua orang perlu tahu dengan jelas siapa yaang terlebih dahulu melanggar perjanjian tersebut.
Liow (kanan), yang dipetik oleh Oriental Daily selepas menghadiri satu majlis di Genting Highlands malam tadi, menegaskan bahawa beliau tidak mahu terbabit dalam isu tersebut dengan melayan semua bentuk tuduhan .
Sambil mengakui bahawa perjanjian damai itu telah ditandatangani, Liow berkata ia Chua yang terlebih dahulu mencadangkan perjanjian itu, dan beliau bersetuju untuk memastikan kelancaran peralihan kuasa dan pemilihan parti.
Dalam sidang akhbar sulungnya sebagai presiden yang bersara Khamis lalu, Chua menunjukkan kepada pemberita kedua-dua perjanjian didakwa dimungkiri oleh Liow.
Perjanjian pertama ditandatangani pada 4 Mac 2010, di mana Chua dan Liow bersetuju untuk membentuk satu pakatan menjelang pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden MCA yang ditetapkan pada 28 Mac.
Perjanjian kedua dimeterai pada 28 November 2013 di mana Liow bersetuju untuk melantik orang Chua sebagai setiausaha agung , ketua MCA di tiga negeri, tiga individu menganggotai jawatankuasa pusat dan melantik Chua sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sekiranya dia dipilih sebagai presiden parti pada 21 Disember tahun itu.
Mengulas mengenainya, bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini berkata sekali lagi, perbalahan yang tidak berkesudahan di dalam parti, merosakkan lagi entiti politik, mengecewakan masyarakat.

