MTEM garis 3 resolusi pemerkasaan ekonomi Melayu
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggariskan tiga resolusi yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkenaan pengagihan sumber ekonomi dan pembangunan usahawan Melayu.
Resolusi itu yang dicapai dalam Sidang Kemuncak Ekonomi Melayu 2014 anjuran MTEM yang diadakan di Port Dickson, antaranya mahu kerajaan membanteras amalan rasuah yang merosakkan pengagihan sumber ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Mohd Nizam Mahshar berkata, pengagihan ekonomi perlu dilaksanakan secara telus dan jika kerajaan gagal melaksanakannya, sasaran untuk menjadi negara maju menjelang 2020 mungkin tidak tercapai.
"Selain itu, MTEM akan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan dalam memperbaiki kelemahan, ketidakcekapan dan birokrasi yang ada dalam sistem pengagihan ekonomi," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sidang kemuncak itu, di Port Dickson hari ini.
Katanya, resolusi ketiga pula ialah MTEM mahu kerajaan merapatkan jurang pengagihan ekonomi antara usahawan Melayu dan bukan Melayu terutama dari sumber Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan.
Mohd Nizam berkata, bagi merapatkan jurang itu, usahawan Melayu juga perlu berusaha melaksanakan pembaharuan dalam sistem peniagaan mereka, jika tidak mahu ketinggalan daripada manfaat ETP yang menurutnya bernilai RM1.7 trilion.
"Malah jika usahawan Melayu masih melaksanakan cara konvensional dalam perniagaan mereka ia bukan sahaja akan menjadi masalah kepada orang Melayu itu sendiri akan tetapi kepada masyarakat umum," katanya.
Katanya, ketiga-tiga resolusi ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat agar kerajaan dapat melaksanakan tindakan sewajarnya dalam memperkemas sistem pengagihan ekonomi sekali gus dapat memperkasakan ekonomi Melayu.
Sidang kemuncak yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu, menghimpunkan lebih 150 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi membincangkan perkara berkaitan pemerkasaan ekonomi Melayu.
-Bernama

