Rakyat M'sia di Sweden direman lagi 2 minggu
Kementerian Luar akan terus memantau kes kakitangan Tourism Malaysia dan isterinya yang kini ditahan reman di Sweden selain menghulurkan bantuan sewajarnya kepada pasangan itu dan anak-anak mereka.
Menurut kenyataan kementerian itu semalam, pegawainya terus bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Stockholm dan maklumat berhubung penahanan pasangan itu sentiasa dikemas kini, lapor Bernama .
Kenyataan itu juga menyebut, kedutaan serta Duta Besar Malaysia ke Sweden berusaha dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa negara itu yang berkaitan bagi memastikan hak pasangan suami isteri berkenaan terpelihara.
Pihak berkuasa tempatan Sweden juga memberi kerjasama sepenuhnya berhubung kes itu, demikian menurut kenyataan berkenaan.
Azizul Raheem Awalludin dan isterinya, Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Dis untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.
Tahanan reman pasangan itu dilanjutkan selama dua minggu lagi.
Sementara itu, agensi berita nasional juga melaporkan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menghantar pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) ke Sweden bagi membantu empat anak pasangan itu.
Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kehadiran pegawai JKM adalah untuk berbincang dengan pihak kebajikan Sweden demi kesejahteraan anak kakitangan Tourism Malaysia dan isterinya itu.
"Kementerian amat prihatin dengan nasib yang menimpa empat beradik yang diperintahkan oleh pihak berkuasa Sweden untuk dijaga oleh keluarga angkat susulan mendapat laporan dipukul oleh ibu bapa kerana tidak solat.
"Dalam masa yang sama, kementerian berharap satu jalan penyelesaian yang terbaik dapat dicapai untuk kebaikan kedua-dua pihak," beliau dipetik sebagai berkata dalam kenyataan semalam.
Keempat-empat beradik berusia 7, 11, 12, dan 14 tahun kini ditempatkan bersama keluarga angkat yang disediakan pihak khidmat sosial Sweden sejak ibu bapa mereka ditahan.

