Kerajaan dan pejuang hak asasi digesa bertindak segera menyelamatkan empat beradik rakyat Malaysia yang kini dijaga keluarga angkat bukan Islam di Sweden, ekoran ibu bapa mereka ditahan oleh pihak berkuasa negara itu.

Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata usaha itu perlu dilakukan kerana undang-undang di negara itu dianggapnya terlalu kejam dan bertentangan dengan hak asasi manusia, lapor Berita Harian hari ini.

Bagaimanapun, dalam laporan tersebut, tokoh agama itu tidak fikir wujud unsur penderaan dalam kes berkenaan sebaliknya wujud salah faham mengenai isu berkenaan.

"Undang-undang mereka nampak terlalu kejam. Tangkap tanpa jaminan selama dua minggu hingga nak jumpa pun tidak boleh. Ini kejam dan anti hak asasi manusia.

"Kekejaman undang-undang mereka semakin jelas bila anak-anak bawah umur dipisahkan secara paksa daripada ibu bapa. Saya amat tersentuh membaca berita Aisyah yang kesedihan menjaga adik-adiknya.

"Mana pergi semua pejuang asasi manusia di Malaysia? Kenapa tidak perjuangkan hak orang ini. Apakah kerana mereka Islam maka nilai agama mereka tidak dihormati.

"Saya menggesa kerajaan supaya bertindak segera menjaga hak dan maruah agama serta rakyatnya daripada dianiaya di tempat asing," katanya seperti dilapor akhbar itu hari ini.

Beliau mengulas rayuan anak pasangan Azizul Raheem Awalluddin dan Shalwati Norshal, yang mahu pulang ke Malaysia kerana tidak selesa tinggal bersama keluarga angkat bukan Islam di sweden.

Pasangan itu ditahan pihak berkuasa Sweden sejak 18 Disember lalu kerana didakwa memukul salah seorang anaknya yang tidak bersolat.