AMK S'gor: Penjelasan negeri terlalu teknikal
Diterbitkan: Jan 20, 2014 4:00 PM | Dikemas kini: Jan 20, 2014 6:16 PM
Pemuda PKR (AMK) Selangor hari ini menghantar memorandum menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menjelaskan isu berkaitan pengambilalihan air secara lebih mudah dan telus.
Ketuanya Azmizam Zaman Huri (
gambar sebelah, berbaju putih
) berkata, walaupun sesi penerangan telah dilakukan untuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Pakatan Rakyat, ia masih tidak cukup mencerahkan persepsi terhadap PKR di peringkat akar umbi.
"Mengikut pemimpin yang hadir ke sesi penerangan, penjelasannya terlalu teknikal.
"Walaupun secara keseluruhannya betul, namun kita mahu bertemu MB agar penerangan yang lebih mudah dapat disampaikan, " kata beliau di lobi bangunan setiausaha kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.
Azmizam berkata memorandum itu dihantar hasil keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat AMK pada 17 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.
AMK juga menurutnya mahukan penjelasan berhubung dakwaan penutupan Pusat Giat MARA di Selayang.
'Henti lagakan Khalid-Azmin'
Dalam masa sama, Azmizam turut meminta agar mana-mana pihak termasuk ahli PKR berhenti melagakan Khalid dan Pengerusi PKR Selangor Azmin Ali berhubung isu itu
"Saya menyeru parti untuk mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli parti yang cuba menangguk air keruh, melakukan kenyataan terbuka sehingga mendatangkan fitnah dan memberi contoh serta persepsi buruk terhadap parti," kata beliau.

