Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan pelatih komando hilang takkan diumum

Laporan penyiasatan berhubung insiden kehilangan 11 pelatih kursus asas komando dan dua jurulatih ketika menjalani latihan di laut pada 7 Dis lalu yang kemudiannya dijumpai, akan siap pada minggu hadapan.

    

Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata walau bagaimanapun hasil laporan tidak akan dimaklumkan kepada orang awam dan bergantung kepada keperluan semasa untuk dihebahkan.

    

"Kalau melibatkan 'public interest' saya akan maklumkan," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Wisma Pertahanan di ibu negara semalam.

    

Menurutnya laporan itu merupakan laporan prestasi dan hanya di peringkat tentera darat yang mengandungi perkara seperti bagaimana kejadian itu berlaku, tahap keselamatan serta aspek

yang perlu diperkemaskan dalam tatacara pelaksanaan latihan.

    

"Tentera Darat memandang serius perkara yang berlaku sebelum ini dan akan membuat penyiasatan sewajarnya terhadap perkara tersebut," katanya.

    

Dalam kejadian kira-kira 9 malam 7 Disember lalu sebuah daripada tiga bot yang membawa dua jurulatih dan 11 penuntut kursus asas komando Kem Sungai Udang bagi menjalani latihan mendayung dikhuatiri karam selepas gagal mendarat bersama kumpulan lain di Pulau Upeh, Melaka.

    

Kesemua mereka bagaimanapun ditemui selamat namun berada dalam keadaan lemah kira-kira 1.30 pagi pada 9 Disember di pesisiran Pengkalan Perigi, Melaka kira-kira 12km dari lokasi kejadian.

    

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris bertarikh 17 Januari telah menulis laporan bertajuk 'Heroes or Zeroes' hingga menyebabkan Raja Mohamed Affandi mengeluarkan kenyataannya semalam.

    

"Tentera Darat akan mengambil tindakan susulan sesuai dengan hasil yang diperolehi daripada Lembaga Siasatan berkenaan,".

    

"Sehingga keputusan Lembaga Siasatan diperolehi, saya berharap insiden ini tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan kredibiliti Tentera Darat," menurut kenyataan itu.

    

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau memaklumkan Tentera Darat akan meraikan ulang tahun ke-81 penubuhannya yang akan diadakan di Port Dickon pada Mac depan.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS