ULASAN  Sekitar minggu lepas, beberapa sumber berita telah pun melaporkan bahawa seorang guru sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor telah diarahkan oleh pihak lembaga sekolah untuk menanggalkan tudungnya, andainya guru tersebut ingin meneruskan perkhidmatannya di sekolah tersebut.

Kami gembira mendengar bahawa Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan telah pun mengkaji kes ini.

Kami juga gembira mendapat tahu bahawa pengetua sekolah tersebut, sebagaimana pengerusi badan pengurusan sekolah yang sama, telah pun memohon maaf daripada guru yang terbabit.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang pernah menyaksikan diskriminasi berlaku ke atas wanita atas pilihannya untuk memakai tudung.

Di negara-negara seperti Norway, Turki, dan Jerman, sebagai contoh, beberapa polisi dan peraturan pernah diperkenalkan yang mengehadkan kebebasan wanita dalam bertudung.

Badan-badan pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun menyatakan melalui komen mereka bahawa polisi-polisi sedemikian bersifat diskriminasi.

Kes Norway pada 2009

Walaupun kes di Kota Tinggi berbeza kerana tidak membabitkan pelaksanaan polisi atau peraturan, kes ini tetap boleh diklasifikasikan sebagai satu bentuk diskriminasi berkaitan pekerjaan yang telah dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Hak seseorang wanita untuk bekerja tidak boleh dihadkan mengikut pemilihan pakaian atau agamanya, dan ini turut merangkumi pilihannya untuk memakai tudung, ataupun tidak memakai tudung.

Sebagai contoh, pada tahun 2009, kerajaan Norway mengisytiharkan bahawa pegawai-pegawai polis wanita di negara tersebut tidak dibenarkan untuk memakai tudung walaupun pengumuman sedemikian bercanggah dengan Tribunal Kesamarataan Norway.

Badan pakar PBB berkenaan hak asasi wanita – Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita – menyebut dalam pemerhatian penutup mereka kepada Norway pada tahun 2012 bahawa wujudnya perundangan yang mengehadkan akses wanita terhadap jawatan-jawatan tertentu, berdasarkan “cara-cara berpakaian, seperti mana pemakaian hijab”.

Jawatankuasa tersebut mendesak agar kerajaan Norway menjalankan kajian berkaitan kesan-kesan pelaksanaan perundangan sedemikian dengan tujuan “memastikan hak-hak wanita terpelihara seperti mana yang termaktub dalam Konvensyen [berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW)].”

Selain itu, jawatankuasa berkaitan hak-hak kanak-kanak turut mengemukakan kerisauan mereka berkaitan undang-undang yang dilaksanakan di beberapa negeri di Jerman berkaitan pengharaman terhadap guru-guru memakai hijab di tempat kerja.

Mereka menyatakan dalam pemerhatian penutup yang ditujukan kepada negara tersebut pada tahun 2004 bahawa undang-undang sedemikian “tidak menyumbang kepada pemahaman kanak-kanak berkaitan hak dan kebebasan dalam beragama dan perkembangan mereka dalam memahami konsep toleransi.”

Ugutan keras bukan penyelesaian

Malaysia telah pun meratifisasikan Konvensyen berkaitan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen berkaitan Hak-Hak Kanak-Kanak (CRC), yang telah memberikan mandat daripada badan-badan pakar PBB yang disebutkan.

Konvensyen-konvensyen hak asasi PBB yang lain juga turut menawarkan jaminan bahawa wanita memiliki hak untuk memilih cara mereka berpakaian.

Sebagai contoh, Komen Umum ke-28 bagi Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) telah pun menekankan bahawa “sebarang peraturan berkaitan pakaian yang harus dipakai oleh wanita di tempat awam” mungkin bercanggah dengan hak-hak yang sepatutnya telah dijamin dalam perjanjian.

Ini termasuklah dalam artikel ke-19 jika “wanita tertakluk kepada syarat-syarat berpakaian yang tidak mengikut fahaman agama mereka ataupun hak mereka untuk mengekspresikan diri” dan artikel ke-27 jika “syarat-syarat berpakaian sedemikian bercanggah dengan budaya wanita yang terbabit.”

Bagaimanapun, kita seharusnya ingat bahawa prinsip ini perlu juga digunapakai terhadap mereka yang memilih untuk tidak bertudung.

Hak wanita untuk bekerja, menuntut ilmu, dan lain-lain seharusnya tidak dinafikan sekiranya mereka memilih untuk tidak bertudung.

Andainya sebarang kejadian seumpama ini berlaku lagi pada masa depan – walaupun kami sama-sekali tidak mengharapkan sedemikian – ugutan keras tidak seharusnya dijadikan solusi; perbincangan yang rasional dan bertamadun jelas merupakan saluran penyelesaian terbaik yang perlu dipilih.


GABUNGAN KUMPULAN WANITA BERTINDAK BAGI KESAMARATAAN GENDER (JAG) dianggotai oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sisters in Islam (SIS), All Women’s Action Society (AWAM), Perak Women for Women Society (PWW), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO).