Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak akan menghadiri majlis sambutan Hari Nasional Australia di Kuala Lumpur hari ini selepas mendapati Lynas Malaysia Sdn Bhd turut menaja acara tersebut.

Walaupun mengakui kepentingan menghadiri acara tersebut yang amat bermakna kepada rakyat Australia, Pakatan berkata dengan dukacitanya ia terpaksa menolak jemputan dari Suruhanjaya Tinggi Australia.

"Seperti yang anda sedia maklum, sebilangan besar rakyat Malaysia menganggap loji memproses nadir bumi Lynas sebagai pelaburan yang

tidak diundang di Malaysia. Kehadiran kami ke majlis itu akan melanggar prinsip Pakatan Rakyat dan janji pilihan rayanya," kata tiga Ahli Parlimen Pakatan - Tian Chua (kiri), V Sivakumar dan Syed Azman Syed Nawawi dalam satu kenyataan bersama.

Ketiga-tiga mereka mendakwa mewakili tiga parti komponen utama Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Mereka berharap Suruhanjaya Tinggi Australia akan menerima pendirian parti itu menentang "pencemaran tidak bertanggungjawab alam sekitar" dan pendirian itu tidak akan melemahkan persahabatan dan muhibah yang dikongsi Pakatan dengan rakyat Australia.

Sementara itu, kumpulan pencinta alam sekitar Himpunan Hijau merancang untuk mengadakan bantahan di majlis itu hari ini.

Sejak tiga bulan, mulai Ogos lalu, NGO itu telah mengumpulkan lebih sejuta tandatangan untuk petisyen bagi menutup kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.

[Baca berita penuh]