Anwar diberi pilihan: bedah atau penjara

comments         Published     Updated

versi terkini Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dihantar kembali ke penjara jika beliau enggan menjalankan pembedahan di hospital kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng kepada kedutaan asing hari ini.

Dalam taklimat khas kepada wakil-wakil 80 negara itu, Chua menegaskan Anwar mesti membuat keputusan itu kerana bekas pemimpin Umno itu sudah berada di hospital selama 154 hari.

Katanya, pihak penjara telah meletakkan 26 April sebagai tarikh akhir bagi Anwar menjalankan rawatan tersebut.

"Terpulang kepada pihak penjara untuk memutuskan bila akan membawa beliau pulang ke penjara jika beliau enggan menjalankan pembedahan," kata menteri itu.

Menurut Chua, Anwar telah diberi nasihat kali ketujuh untuk pembedahannya pada 25 April lalu.

Tambahnya, Anwar mempunyai lima pilihan. Pertama, menerima pembedahan secara endoskopik oleh pakar dari Jerman Dr Thomas Hoogland di Hospital Kuala Lumpur (HKL); kedua, rawatan secara pancaran laser oleh Dr Kazem Djavadkhani; ketiga, pembedahan terbuka (open disectomy) dan keempat pembedahan mikro (micro disectomy) di HKL; sementara kelima, tidak membuat apa-apa.

"Jika beliau membuat pilihan kelima, beliau boleh menerima rawatan biasa di penjara," kata Chua.

Chua menegaskan, undang-undang negara ini tidak membenarkan banduan menerima rawatan di luar negara.

"Jika anda seorang banduan, anda mesti mematuhi undang-undang penjara dan mesti dirawat di hospital kerajaan," kata Chua.

Sebelum ini, seramai 140 duta dan pegawai kedutaan menerima penerangan daripada Dr S Jeyaindran dari HKL mengenai perkembangan tahap kesihatan Anwar, sementara Dr Kazem Djavadkhani pula memberikan taklimat tentang jenis-jenis pembedahan yang boleh dijalankan untuk merawat anjakan cakera tulang belakang.

Selain itu, kementerian itu juga menunjukkan gambar-gambar bilik kelas satu dan tandas Anwar serta kemudahan pembedahan di hospital itu

"Tandas ini sesuai digunakan oleh pesakit cakera (teranjak) tulang belakang," kata beliau.

Menurut Dr Jeyaindran, cakera teranjak yang dialami Anwar dipercayai akibat bermain sepak takraw di Penjara Sungai Buloh pada pertengahan 1999.

Desakan banduan-banduan

"Kaki Anwar menendang bola rotan dengan terlalu kuat," kata doktor.

Apabila ditanya sama ada pihak penjara memberikan tempoh masa tertentu untuk menunggu rawatan itu, Chua berkata ia terpulang pada pihak penjara.

"Asasnya, keputusan pembedahan itu terletak pada Anwar," kata Chua.

Menurutnya lagi, sekarang ada desakan daripada banduan-banduan lain yang sakit untuk menggunakan bilik kelas satu di hospital seperti ditempatkan kepada Anwar.

Katanya, Anwar sendiri harus menanggung risiko jika wujud kesan negatif akibat pembedahan yang lewat dan beliau harus membuat keputusan untuk menerima pembedahan secepat mungkin.

Majlis taklimat ini dianjurkan bersama dengan Kementerian Luar. Awal bulan ini isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail menjemput beberapa duta dan wakil kedutaan mendengar taklimat berhubung kesihatan suaminya. Bagaimanapun, tindakan Wan Azizah itu, juga Presiden Parti Keadilan Nasional, dianggap oleh kerajaan Malaysia sebagai "campur tangan" negara-negara asing.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Syed Albar hari ini mempertahankan tindakan kerajaan menjemput wakil-wakil kedutaan asing itu. "Kedudukan kerajaan berbeza daripada pembangkang," katanya.

"Di bawah Konvesyen Hubungan Diplomatik, diplomat asing berurusan dengan kerajaan. Mereka (Keadilan) adalah pembangkang, anda tidak boleh menyamakan kita (kerajaan) dengan mereka," katanya.

Beliau juga menafikan taklimat itu diadakan kerana kerajaan rasa terdesak dengan isu kesihatan Anwar.

"Apabila orang diberikan kefahaman yang salah, kami rasa perlu memberikan maklumat yang terbaik. Kami buat lebih lambat dari Keadilan, kami tidak mahu mempolitikkan isu," tambahnya.

Sementara itu, Duta Indonesia Hadi A Wayarabi Alhadar berkata keputusan pembedahan itu terpulang kepada keluarga Anwar.

"Saya kira kemudahan hospital (kerajaan di negara ini) sangat baik, dan tidak ragu-ragu tentang isu ini," kata beliau selepas majlis itu.

Beliau berkata isu ini adalah urusan Malaysia dan beliau tidak wajar memberikan ulasan lanjut.

Menteri Luar negara itu sebelum ini pernah menyifatkan kehadiran wakil kedutaannya di Kuala Lumpur dalam taklimat yang dianjurkan Wan Azizah itu sebagai satu "kesilapan."

Keep Malaysiakini independent!

Malaysiakini will be 18 this year. That we’ve survived this long is because of you.

Your support matters. A lot. Especially those who pay RM150 annually, RM288 biennially or RM388 triennially to keep Malaysiakini independent from government/opposition influence and corporate interests. Advertising alone will not keep Malaysiakini afloat.

Together, we’ve gone far. We’ve covered three prime ministers, four general elections, five Bersih rallies, and countless scandals. But the journey continues.

Help us deliver news and views that matter to Malaysians. Help us make a difference for Malaysia.

Support Malaysiakini



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In