Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggesa Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan polis bertindak tegas terhadap pihak yang menggantung kain rentang bertulis 'Jesus is The Son Of Allah' di Pulau Pinang semalam.

Beliau menyifatkan tindakan itu boleh menimbulkan kemarahan, kebencian dan permusuhan umat Islam dengan penganut Kristian di negara ini, lapor Berita Harian hari ini.

"Saya sudah menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Kassim, meminta beliau membuat laporan pois berhubung kejadian itu.

 

"Tindakan itu perlu kerana kita lihat isu terbabit bukan hanya boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan umat Islam di Malaysia terhadap penganut Kristian, malah boleh mengugat keselamatan negara dan mencetuskan rusuhan antara agama," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Sementara itu, Sinar Harian hari ini pula melaporkan Umno Pulau Pinang mengecam tindakan pihak yang menimbulkan provokasi itu malah mendakwa ia satu cubaan mewujudkan ketegangan antara dua penganut agama di negeri itu.

Laporan itu menyebut Pengerusinya Datuk Zainal Abidin Osman percaya penggantungan kain rentang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu sebagai tindakan provokatif paling tinggi dan sangat biadap.

Sehubungan itu, Zainal berkata berkata pihaknya telah membuat laporan polis untuk berhubung kejadian tersebut dan menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.