ULASAN Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memandang serius seruan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim agar usaha untuk mencapai permuafakatan nasional digerakkan, melihat kepada suasana keharmonian negara yang semakin tergugat.

Kami bersetuju tanda-tanda polarisasi kaum akibat tindakan pihak tertentu yang kerap melaungkan sentimen perkauman, telah menyebabkan suatu keadaan "bom jangka" kini wujud.

Senario ini sangat berbahaya kepada negara.

Kami mendapati keghairahan menimbulkan kecurigaan antara kaum telah mengakibatkan perpaduan dan muhibah dalam masyarakat diperjudikan sehingga ke tahap yang berpotensi mencetuskan ketegangan.

Saranan untuk berdialog antara BN dan Pakatan Rakyat adalah sangat wajar bagi mencari penyelesaian kepada isu-isu pokok dalam negara seperti masalah urus tadbir, membasmi rasuah, keborosan dan ketirisan perbelanjaan serta isu menyentuh sensitiviti antara agama dan kaum.

Kami akur wujud insiden yang sering menimbulkan ketegangan antara penganut agama sehingga ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan keganasan.

Provokasi yang mudah melanjut menjadi ganas pernah berlaku dan bukan suatu yang tidak boleh dijangka di negara ini.

Kami sangat khuatir dengan suasana yang sedemikian rapuh. Apa sahaja boleh berlaku bila ada pihak yang mahu negara ini berhadapan dengan konflik antara kaum dan dengan itu boleh mengulangi peristiwa 13 Mei 1969.

Oleh yang demikian BN dan Pakatan perlu mengenepikan kepentingan survival politik tetapi hendaklah mengutamakan keperluan rakyat dan kestabilan negara.

Beberapa insiden yang tercetus kebelakangan ini menunjukkan ada tanda sentimen perkauman semakin mempengaruhi pendirian awam.

Ini juga termasuk media tertentu yang sering mengeksploitasi isu yang berbaur perkauman bertujuan untuk memperdalam rasa curiga dan berprasangka antara kaum.

Malangnya berlaku tindakan secara selektif terhadap mereka yang memprovokasi isu perkauman.

Natijahnya, sungutan dan suara meningkatkan tuntutan berasaskan kepentingan kaum masing-masing semakin ketara dan menonjol.

Kami mengesa agar semua pihak menghormati kesepakatan yang telah dicapai sejak kemerdekaan negara dan keharmonian yang selama ini dapat dipupuk antara kaum.

Akan tetapi kami juga maklum bahawa kepincangan dalam menyantuni keperluan golongan yang tertindas merentas kaum sering berlaku, namun ia kerap menjadi punca pihak tertentu mencetuskan prasangka antara masyarakat.

Seruan supaya pemimpin politik menampilkan ciri sebagai negarawan dan mengenepikan kepentingan dangkal dan sempit yang menggadai keharmonian antara kaum dan penganut agama adalah sangat wajar.

Ternyata gejala politik defisit moral dan politik kepentingan diri telah menyebabkan permuafakatan nasional untuk membina negara yang bersatu gagal dicapai.

Kami dengan ini menuntut perundingan untuk mencapai permuafakatan nasional melibatkan semua pihak; pemimpin politik, masyarakat sivil, ilmuwan, agamawan dan budayawan.

Mengenai kedudukan Islam yang menjadi unsur terpenting dalam Perlembagaan Persekutuan, kami menggesa agar status Islam untuk menjadi dasar pembangunan negara tidak dipersoalkan.

Sensitiviti agama tidak boleh dipandang rengan dan segala khilaf hendaklah diselesaikan dengan cara mekanisme dalaman dan tidak diesploitasi sebagai isu media yang menambah ketegangan antara kaum.


MOHD AZMI ABDUL HAMID presiden MAPIM.