Gara-gara mencuri RM250 duit tabung sebuah surau di Balik Pulau atas alasan mahu membeli makanan, seorang lelaki dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini.

    

Majistret Muhammad Najib Ismail memerintahkan Shamsul Azlan Saad, 28, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 25 Jan lalu selepas dia mengaku bersalah.

    

"Hukuman ini dibuat setelah mengambil kira faktor kepentingan awam. Tertuduh tiada rekod jenayah lampau. Kalau kita seorang yang betul, iman kita kuat, kita tak akan tergamak mencuri duit tabung surau.

    

"Mungkin ada masalah dengan iman kamu. Jadi, elok kamu kaji balik hubungan kamu dengan Allah dan manusia. Semoga dalam tempoh kamu di dalam penjara nanti, kamu dapat muhasabah diri kamu," kata Muhammad Najib.

    

Tertuduh yang bekerja sebagai pencuci pinggan sambilan mencuri RM250 duit tabung Surau An Nur di Bukit Gedung, Bayan Baru di Balik Pulau pada 4 pagi Sabtu lepas.

    

Shamsul Azlan yang juga menghidap sawan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

- Bernama