ADUN dakwa PBT rampas persediaan CNY
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar mendakwa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merampas kelengkapan untuk persiapan ambang Tahun Baru Cina anjurannya walaupun mendapat kebenaran.
Azan Ismail mendakwa, kelengkapan untuk acara di Pulau Warisan itu hari ini dirampas dan disita dengan “keras” dan MBKT “menahan secara fizikal” seorang petugasnya yang cuba berunding.
“Saya telah bercakap melalui telefon dengan salah seorang daripada mereka, namun dengan angkuh mereka mengatakan mereka 'punya kuasa' walaupun permit polis telah dikeluarkan,” menurut laporan polisnya hari ini.
Laporan itu dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Terengganu petang ini dan salinnya dihantar kepada Malaysiakini .
Menurut laporan polis itu juga, Azan berkata, mereka mempunyai permit polis dan kebenaran bertulis daripada MBKT sebelum ini.
Dakwa tekanan MCA
Sementara itu, Azan juga berkata, beliau telah menghubungi Datuk Bandar Kuala Terengganu sebelum rampasan itu untuk penjelasan dan menyatakan penganjuran itu sebahagian daripada tugasnya sebagai wakil rakyat.
“Beliau menyatakan faham, namun memaklumkan kepada saya bahawa mendapat bantahan dan tekanan dari pihak MCA,” menurutnya lagi.
Malaysiakini sudah menghubungi Datuk Bandar bagi mendapatkan penjelasan. Bagaimanapun masih tiada respon berkaitan setakat ini.

