Harga saham Malaysian Airline System Bhd (MAS) bergerak negatif walaupun merupakan saham paling aktif pagi ini, berikutan keputusan tahun kewangan 2013 yang mengecewakan.

    

Pada jam 11 pagi, saham itu merosot 4.5 peratus atau 1.5 sen kepada 29.5 sen, dengan 85.48 juta saham bertukar tangan.

    

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, syarikat itu mencatat kerugian sebelum cukai lebih dua kali ganda kepada RM1.15 bilion, daripada RM424.8 juta pada masa yang sama 2012.

    

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM15.12 bilion daripada RM13.75 bilion sebelumnya.

    

Firma-firma penyelidik berkata keputusan kewangan itu jauh di bawah jangkaan, dan tekanan terhadap hasil akan terus berlaku pada tahun kewangan

semasa.

    

Kenanga Research berkata sasaran pengurusan MAS mencapai pertumbuhan kapasiti 12 peratus tahun ini sukar dicapai, antara lain disebabkan persaingan

sengit daripada syarikat penerbangan tambang rendah.

    

"MAS perlu mengurangkan lagi belanja seunitnya dan pada masa yang sama memaksimumkan hasil melalui pendapatan sampingan," katanya dalam satu nota hari ini.

    

Kenanga Research berkata berikutan hasil FY13 yang mengecewakan itu, ia telah meluaskan lagi unjuran kerugian bersih pada tahun kewangan 2014 (FY14)

sebanyak 65 peratus kepada RM558.6 juta.

Syarikat penyelidikan itu berkata unjuran itu dibuat apabila ia menaikkan unjuran perbelanjaan operasi MAS sebanyak 1.5 peratus pada FY14, selepas

mengambil kira kos bahan api, sejajar dengan pertambahan kapasitinya.

Alliance Research pula dalam satu nota berasingan berkata walaupun ketibaan pelancong yang dijangka semakin meningkat tahun ini, MAS perlu mengekalkan tambang yang rendah ketika ia berusaha untuk memenuhi tempat duduk tambahan dan mengekalkan faktor kadar penumpang lebih daripada 80 peratus.

    

"Dalam keadaan struktur kos yang rumit ini, kami khuatir MAS akan mendapati margin operasinya terus menurun jika ia mengurangkan tambang dalam usaha untuk merangsang permintaan," katanya.

    

Ia menarik perhatian bahawa pembukaan klia2 pada 2 Mei mungkin meningkatkan lagi persaingan dalam industri penerbangan domestik.

    

Alliance Research juga menjangkakan hasil MAS pada FY14 dan FY15 akan merosot sebanyak 1.4 peratus dan 1.5 peratus.

    

Sementara itu, RHB Research dalam satu lagi nota berkata MAS dijangka menghadapi masa yang sukar untuk meningkatkan keuntungan secara menyeluruh.

    

Ia menjangkakan hasil untuk FY14 dan FY15 merosot sebanyak lima peratus dan satu peratus, manakala kerugian ditaksir mencapai RM761.2 juta dan RM456 juta.

    

Kenanga Research dan RHB Research menyemak turun MAS kepada 'kurang berprestasi' dan 'jual' daripada 'berprestasi pasaran' dan 'neutral'.

    

Kedua-dua syarikat penyelidik itu mengurangkan harga sasaran mereka dengan Kenanga Research menurunkannya kepada 27 sen daripada 32 sen dan RHB Research kepada 20 sen daripada 30 sen.

    

Alliance Research, bagaimanapun, mengekalkan saranan 'jual' pada harga sasaran 23 sen.

    

- Bernama