Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guru anti-PBS rayu arahan ditarik balik
Diterbitkan:  Mar 5, 2014 2:15 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Seorang guru Mohd Nor Izzat Mohd Johari, yang diarah pindah sekolah serta merta susulan bantahannya ke atas sistem Penaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), merayu supaya arahan tersebut ditarik balik.

Beliau yang juga ketua Gerak Kerja Kempen Mansuh PBS, membuat rayuan tersebut dalam surat rayuan yang dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor Sinar Harian .

Laporan itu menyebut, Mohd Nor Izzat dalam suratnya menyuarakan kekesalan terhadap tindakan yang dikenakan kerana mendakwa sebelum itu beliau dijemput oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh menerangkan berhubung sistem PBS.

"Beliau (Idris Jusoh) memberi jaminan (secara lisan) bahawa saya bersama rakan-rakan yang hadir tidak akan dikenakan apa-apa tindakan kerana cuba menyampaikan kelemahan berkaitan perlaksanaan PBS.

"Selepas perjumpaan tersebut, saya bersama rakan disoal siasat pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Nazir Negeri Pahang dan Nazir Persekutuan selepas mendapat aduan daripada pelanggan bertarikh 24 Disember," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Mohd Nor Izzat sebelum ini dilaporkan menerima surat arahan pindah serta-merta kerana membantah sistem PBS, merupakan guru yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah di Jerantut, Pahang.

Beliau mendakwa diarahkan bertukar ke sekolah yang terletak sejauh 80 kilometer dari rumahnya, lebih jauh berbanding sekolah sebelum ini yang hanya sejauh 25 km.

Laporan akhbar tersebut turut memetik kenyataan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh yang memberi jaminan bahawa penambahbaikan ke atas sistem PBS akan lebih mesra guru.

Sistem PBS yang baru yang akan diumumkan 29 Mac nanti, tidak akan membebankan guru sekali gus guru lebih fokus dalam pengajaran, katanya.

"Kita sedang mengambil input dan mengemas kini apa yang dilaksana kementerian," katanya yang menambah menteri terbabit Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan secara terperinci mengenai PBS setelah ditambah baik itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS