Polis Kuala Lumpur akan mengemukakan cadangan kepada ketua unit pendakwaan bagi mengadakan inkues untuk menyiasat kematian bayi yang dipercayai didera pengasuhnya Jumaat lepas di Datuk Keramat.

    

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Gan Kong Meng berkata inkues itu bertujuan mengenal pasti sama ada punca kematian bayi lelaki berusia setahun lapan bulan berkenaan yang hempedunya pecah mempunyai kaitan dengan perbuatan jenayah.

    

"Berdasarkan laporan bedah siasat Hospital Kuala Lumpur, punca sebenar kematian disebabkan hempedu pecah. Kita akan meneliti laporan berkenaan dari segala sudut," katanya kepada pemberita.

    

Beliau berkata semalam polis telah mengambil keterangan daripada pengasuh berkenaan dan di peringkat ini pihaknya sedang meneliti rakaman percakapan tersebut.

    

"Kita juga akan memanggil empat lagi saksi terdiri daripada jiran, jururawat termasuk pembantu perubatan dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan bagi membantu siasatan.

    

"Kita akan lengkapkan kertas siasatan dalam minggu ini dan akan diserahkan kepada pendakwaraya," kata Gan.

    

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohmad Salleh berkata suspek yang berusia 20-an merupakan isteri kepada rakan bapa mangsa yang menjaga bayi itu sejak tiga bulan lepas.

    

- Bernama