Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pilihan raya kecil DUN Balingian pada 29 Mac, seminggu selepas pilihan raya kecil DUN Kajang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan, tarikh penamaan bagi pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 17 Mac, yang memberi tempoh 12 hari untuk berkempen.

Parti Bumiputera Persaka Bersatu (PBB) yang dipimpin Taib sehingga kini masih belum menetapkan calon untuk bertanding di kerusi yang dikosongkan bekas ketua menteri itu pada 28 Februari lalu.

PKR telah mengumumkan hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil berkenaan.

DUN tersebut mempunyai 13,366 pengundi, manakala menurut Abdul Aziz, anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil itu ialah RM910,213.

Dalam pilihan raya negeri pada 2011, Taib memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar sebanyak 5,154 undi.

Malah, calon PKR bagi kerusi itu, Suriati Abdullah, hanya mendapat 871 undi dan di tempat ketiga, di belakang calon Bebas Salleh Jafaruddin yang memperoleh 1,056 undi.

Balingian terletak dalam Parlimen Mukah. [Baca berita penuh]

Sementara Bernama melaporkan Abdul Aziz berkata pengundi bagi pilihan raya kecil itu terdiri daripada 13,233 pengundi biasa dan

133 pengundi awal.

    

Menurutnya lagi, daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah gabungan Daftar Pemilih Induk 2012 dengan Daftar-daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013, Suku Tahun Ketiga 2013 dan Suku Tahun Keempat 2013 yang telah dikemaskinikan atau dibersihkan sehingga 27 Feb 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.

    

Beliau berkata SPR akan melantik tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) dan tiga penolong pegawai pengurus untuk memantau perjalanan kempen.

    

Abdul Aziz berkata sebanyak 441 petugas yang kebanyakannya dari Pejabat Daerah Mukah akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya kecil itu dan Dewan Suarah Mesra Mukah dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.

    

"Sebanyak 22 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu sebuah pusat mengundi bagi undi awal dan 21 pusat mengundi bagi pengundian biasa.

Dalam sesi soal jawab, Abdul Aziz berkata SPR cuba mengadakan PRK Balingian serentak dengan PRK Kajang, namun tidak dapat berbuat demikian disebabkan kesuntukan masa untuk menyiapkan daftar pemilih terkini.

    

"Pegawai-pegawai yang terlibat dalam hal-hal teknikal tidak dapat siapkan kerja masing-masing, terutamanya daftar pemilih," katanya.

    

Beliau berkata SPR menetapkan tarikh pengundian dan penamaan calon PRK Balingian lebih awal berbanding PRK Kajang kerana persediaan telah dilakukan kerana keputusan pengosongan kerusi Balingian itu diketahui lebih awal.

    

"Jadi saya telah minta pengarah SPR Sarawak untuk buat persediaan dari segi perkara-perkara logistik, pusat mengundi, pegawai pengurus lebih awal. Semua dah sedia, cuma tunggu YB DUN (Abdul Taib Mahmud) letak jawatan," jelasnya.

    

SPR menetapkan 23 Mac sebagai hari pengundian PRK Kajang manakala 11 Mac pula hari penamaan calon.