Comango nafi cetus kekecohan di mahkamah
Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango) menafikan terlibat membuat provokasi ke atas NGO Islam sehingga mencetus kekecohan di bangunan Istana Kehakiman semalam.
Merujuk kepada satu laporan Utusan Malaysia, jurucakap Comango Yap Swee Seng berkata, perbuatan memberi bunga bukan satu inisiatif gabungan NGO tersebut.
“Ia bukan inisiatif Comango dan pendengaran kes itu juga bukan rancangan kami (untuk dihadiri). Bagaimanapun, kami mengalu-alukan usaha untuk mempromosi hak asasi, dialog dan toleransi,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, aktivis Siti Kassim yang didakwa membuat provokasi ke atas NGO tersebut dengan memberi bunga kepada individu di bangunan mahkamah tersebut juga tidak bertindak sebagai wakil Comango.
“Comango adalah gabungan organiasai, bukan individu,” katanya.
Akhbar milik Umno itu hari ini melaporkan, insiden kekecohan itu berlaku kerana kumpulan NGO Islam terdengar bahawa wakil Comango berada di dalam mahkamah untuk mengedarkan bunga.
“Kami mendengar bahawa wakil organisasi berkenaan membuat provokasi dan memberi bunga kepada orang awam di luar bangunan mahkamah sedangkan NGO Islam terpaksa menunggu di luar.
“Kenapa dia boleh buat begitu? Ini menjadikan kami marah dan ingin membawanya keluar,” kata ketua Pemuda PERKASA Irwan Fahmi Ideris.
Akhbar itu menyebut, Siti “dipercayai sebagai wakil Comango” dan membuat “provokasi” kepada orang ramai dengan memberi bunga dan mempersoalkan pendirian NGO Islam itu berhubung penggunaan kalimah Allah.
Laporan berkenaan, bertajuk 'Comango cetus kekecohan' juga menyebut bahawa seorang wartawan Sinar Harian mengalami kecederaan kecil apabila terhantuk satu mikrofon dalam kekecohan berkenaan.

