Isma: Kenapa NGO Islam menentang liberalisme
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata penentangan NGO Islam terhadap fahaman liberalisme ialah kerana ia berasaskan fahaman atheisme yang tidak mempercayai Tuhan.
Malah beliau berkata slogan yang menjadi tema liberal iaitu "Liberty, Equality & Fraternity" (Kebebasan, Kesamaan dan Persaudaraan Insan) itu turut menjadi tema kepada gerakan 'Freemason'.
"Bila kita kaji mendalam ia bukanlah fahaman berasaskan agama. Ia fahaman mengingkari agama. Secara ringkas kita tengok apa yang dibawa tema ini dan apa yang digunakan dalam konteks Malaysia ini," kata beliau dalam rakaman forum 'BicaraKini' terbitan KiniTV.
Forum bertemakan 'ancaman liberalisme di negara ini' turut
membariskan Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD) Khalid Jaafar.
Hal itu pantas dibalas oleh Khalid yang mengatakan fahaman liberal itu bukanlah berasaskan ketiadaan Tuhan tetapi memastikan keadilan dalam pentadbiran negara kerana pengasasnya John Locke turut beragama dan tidak menolak Tuhan.
Pemimpin PKR itu menambah fahaman liberal itu memberi ruang luas untuk golongan beragama termasuk pemikir Islam seperti Muhammad Abduh, Ali Abdul Raziq dan Rifaat Tahtawi.
"Ada orang liberal orang kuat beragama. John Locke misalnya kuat beragama. Ada juga pakar teologi, ulama-ulama besar menganut faham liberalisme sama ada mereka sedar atau tak sedar. Contohnya Yusuf Qardhawi - beliau mempertahankan keadilan dan demokrasi serta hak untuk menjatuhkan kerajaan zalim," kata beliau.
Abdullah bagaimanapun bersetuju beberapa idea asas dalam fahaman liberal boleh diterapkan dalam politik Islam namun harus ditolak kerananya ia terdiri dari satu pakej yang bertentangan dengan Islam.
"Secara satu-satu memang saya setuju, (misalnya) demokrasi ini boleh diadaptasi. Bukan semua tapi beberapa sudut. Ia bukan liberalisme, tapi beberapa sudut seperti demokrasi, contohnya seperti pilihan raya," kata beliau.
"Dalam konteks liberalisme mereka tidak mengiktiraf atau mengakui itu (peraturan dan undang-undang Allah). Kalaupun mereka mengakui Tuhan atau Allah tapi mereka boleh mencipta sendiri dan membuat pegangan yang mereka suka," tambahnya.
Komen beliau itu kemudiannya disanggah Khalid yang berkata secara sedar atau tidak, pelbagai pihak yang mengutuk fahaman liberal ini bersetuju dengan idea yang disampaikan mereka.
Beliau memberi contoh bagaimana liberalisme berjaya menghapuskan sistem perhambaan yang menjadi satu 'budaya' termasuk di kalangan masyarakat Islam dan Melayu sebelum ini.
"Satu masa dulu masyarakat anggap perhambaan itu baik, masyarakat Melayu dulupun ada perhambaan. Tapi bila masyarakat semakin liberal, mereka tolak (perhambaan). Sumbangan paling besar liberal ialah menghapuskan perhambaan secara institusi," kata beliau.

