Pencarian pesawat MAS yang hilang MH370 diluaskan termasuk mempertimbang kemungkinan ia cuba berpatah balik, kata pemangku menteri pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kita turut lihat kemungkinan pesawat itu berpatah balik, dalam kes itu, lokasi berbeza mungkin perlu dikenalpasti,” katanya dalam sidang media hari ini.

Perincian lanjut akan didedahkan dalam sidang media berikutnya hari ini, katanya selepas pertemuan dengan tentera udara dan Jabatan Penerbangan Awam.

MH370 daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing hilang awal pagi semalam di suatu tempat antara ruang udara Malaysia-Vietnam. [Baca berita penuh]

'Air turn back'

Sementara itu, Bernama melaporkan Hishammuddin sebagai berkata, kemungkinan pesawat itu cuba berpatah balik menggunakan prosedur 'air turn back'.

Menurut terminologi penerbangan, 'air turn back' adalah prosedur pesawat berpatah balik ke lapangan terbang asal akibat pincang tugas atau disyaki pincang tugas sebarang peralatan pada pesawat.  

Agensi berita nasional juga melaporkan Hishammuddin sebagai mengesahkan penemuan tumpahan minyak di perairan Vietnam.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa negara berkenaan sedang berusaha mengesahkan sama ada tumpahan itu berpunca daripada pesawat.

"Saya sahkan memang ada tumpahan minyak tetapi tiada serpihan.

"Saya dimaklumkan pesawat Vietnam berada di lokasi sekarang bagi mengesahkan apa yang sebenarnya di permukaan air itu," beliau dipetik sebagai berkata.